Sunday, 19 January 2014

Tiga maut dalam kemalangan bas di Yong Peng


KUALA LUMPUR: Sebuah bas ekspres telah terlibat dalam satu kemalangan maut di Kilometer 107.2 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Yong Peng dari Pagoh, Johor.

Menurut laporan Twitter rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bas tersebut dipercayai terbabas dan terbalik berhampiran plaza tol Yong Peng.

Menurut laporan Twitter JBPM lagi tiga penumpang maut manakala 14 lagi telah cedera berikutan kemalangan tersebut yang berlaku sekitar 4.00 petang tadi.

Pasukan bomba kini di dalam usaha menyelamat penumpang di dalam bas tersebut yang dipercayai dari syarikat bas Meridian Holidays.






Astro Awani  

Tentera nafi lancar rampasan kuasa


Thanasak Patimaprakorn


BANGKOK - THAILAND . Komander Angkatan Tentera Thailand, semalam mengulangi pendirian tidak akan melancarkan rampasan kuasa untuk menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Jeneral Thanasak Patimaprakorn turut menyelar laporan tidak berasas itu yang didakwa sengaja disebarkan untuk meningkatkan ketegangan.

"Krisis politik ini seharusnya diselesaikan dengan baik oleh kerajaan dan rakyat," katanya.

Menurutnya, perintah darurat tidak akan diisytiharkan jika penunjuk perasaan menghormati undang-undang dan tidak mencetuskan protes ganas.

Dalam perkembangan lain, kumpulan antikerajaan tetap meneruskan protes di ibu negara yang kini masuk hari keenam.

Kelmarin, seorang maut manakala kira-kira 40 cedera selepas sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kumpulan Baju Kuning yang sedang membuat persediaan untuk berarak di Bangkok, dipetik dari laporan Bangkok Post. - Sinar Harian 

Kanta sentuh pintar, ukur paras gula

Kanta sentuh pintar, ukur paras gula
Google kini sedang menguji keberkesanan prototaip kanta lekap tersebut.

SYARIKAT enjin pencari gergasi, Google kini melangkah setapak lagi dengan menceburi bidang perubatan menerusi ciptaan kanta sentuh pintar yang direka khas untuk penghidap diabetis.

Kanta lekap dilengkapi cip tanpa wayar dan sensor glukosa miniatur tersebut direka khas untuk mengukur paras gula menerusi titisan air mata.

Difahamkan, lubang jarum pada kanta sentuh pintar itu membolehkan cecair dari permukaan mata meresap ke dalam sensor dan cip yang tertanam pada dua lapisan lembut kanta lekap tersebut.

Google mendakwa ujian lebih kerap dengan kanta sentuh terbabit mampu mengurangkan risiko penyakit seperti kegagalan buah pinggang dan buta.

Pakar endokrinologi Yayasan Perubatan Palo Alto, Dr Larry Kevin menyifatkan ia sebagai ciptaan luar biasa kerana dihasilkan sebuah firma teknologi seperti Google.

"Ia adalah alternatif baharu berbanding ujian cucuk jari yang kadangkala menyebabkan pesakit berasa tidak selesa," katanya dipetik dari laporan AP.

Sementara itu, penganalisis Penyelidikan Renub menjangkakan pasaran pemantau paras gula dalam darah mampu mencapai lebih AS$16 bilion (RM53 bilion) menjelang akhir tahun ini. - Sinar Harian 

Bot karam: Jangan sebar maklumat belum sah

KUCHING - Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang belum disahkan.

Ini, katanya, termasuk nama mangsa terselamat dan masih hilang dalam kejadian bot panjang dinaiki 27 penumpang yang terbalik di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro, tengah hari semalam.

Beliau juga meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada polis sebelum mengeluarkan sebarang bentuk laporan.

"Untuk makluman semua, sehingga pagi ini tiga mangsa disahkan meninggal dunia, lapan masih hilang dan 16 berjaya diselamatkan. Bagaimanapun jika ada pula akhbar-akhbar dalam laporan hari ini menyatakan 17 mangsa berjaya diselamatkan, ini tidak tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program 'PDRM dan Komuniti Bersama Memerangi Jenayah' di Medan Niaga Satok, di sini hari ini.

Ketika ditanya hasil siasatan awal punca nahas, Muhammad Sabtu berkata terlalu awal untuk mencari punca sebenar kejadian.

"Ketika ini kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, seperti ada dakwaan mengatakan bot panjang berkenaan terlebih muatan.

"Apa yang boleh disahkan ialah ketika kejadian, arus deras dan angin kencang... untuk lebih kepastian kita biarkan polis melakukan siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu/Daro DSP Wagner Lisa Libut dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Daerah Matu/Daro Inspektor Raja Mahdi Raja Mahmudin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, senarai nama yang disiarkan oleh akhbar serta di Internet seperti laman sosial Facebook bukan dikeluarkan polis.

"Polis tidak mengeluarkan senarai nama itu termasuk mangsa terselamat, dan mangsa hilang.

"Polis pun tidak tahu dari mana nama-nama tersebut diperoleh," kata mereka sambil tidak menolak kemungkinan nama diperoleh terus daripada penduduk kampung.- Bernama

Teman baharu Fazura

Fazura
Fazura

Fazura
Fazura selesa bersama Randy

Fazura
Fazura bersama Yuna


KEHADIRAN bintang ini di dalam arena seni cukup disenangi ramai sejak awal lagi kemunculannya.

Bukan sahaja memiliki wajah yang cantik, Nur Fazura Sharifuddin, 31, atau mesra disapa Fazura mempunyai bakat besar sebagai pelakon dalam industri seni.

Dia juga antara selebriti eksklusif kerana tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran lakonan. Namun lumrah sebagai selebriti, kisah peribadi pasti turut menjadi perhatian dan Fazura juga tidak lepas dari melaluinya.

Ketika dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang VVIP, nama Fazura senyap dari dikaitkan dengan selebriti lain. Bagaimanapun ketika berlakon bersama Shaheizy Sam tahun lalu, Fazura dikatakan bercinta dengan Bintang Paling Popular 2013 itu, namun keduanya menafikan.

Senyap seketika dari kisah cinta, nama Fazura kembali menjadi perhatian apabila hubungan persahabatannya bersama seorang jejaka Inggeris menjadi perhatian ramai.

Bahkan ketika Fazura menyambut tahun baharu di Los Angeles baru-baru ini, lelaki tersebut turut setia menemaninya.

Sehinggakan timbul persoalan di hati ramai peminat dan juga media, apa hubungan Fazura dengan jejaka tersebut?


Selesa bersama Randy

Tidak berselindung mahu pun berdolak dalik dari media mengenai gerangan jejaka yang merupakan salah seorang pemuzik dan DJ popular di Los Angeles (L.A), Amerika Syarikat (AS), Fazura menjelaskan dia mengenali jejaka yang dikenali sebagai Randy Siedman, sejak setahun lalu.

Bagaimanapun ujar Fazura, pemergiannya ke L.A bulan lalu, bukanlah untuk berjumpa Randy semata-mata tetapi kerana sudah lama merancang untuk bercuti ke AS.

“Ketika saya ke L. A tahun lalu, bukan dia sahaja yang ada, tetapi juga ada beberapa kawan lain dan sepanjang saya berada di sana, dia menjaga dan melayan saya dengan baik. Mungkin kerana saya banyak memuat naik gambarnya, jadi orang fikir hanya kami berdua yang bercuti bersama.

“Saya akui boleh dikatakan dia kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang tetapi itu tidak bermakna kami bercinta. Kami baharu sahaja berkenalan setahun yang lalu.

“Malah saya mengagumi dia dan dia juga mengagumi saya. Saya rasa tidak salah kalau kita nak kagumi kawan kita sendiri,” ujarnya yang ditemui selepas sesi pratonton filem Kami Histeria, baru-baru ini.

Ditanya apa faktor yang membuatkan dia selesa berkawan dengan Randy, Fazura berkata kebijaksanaan dan sikap Randy yang sangat menghormati wanita membuatkan dia tertarik sekali gus senang menjalinkan hubungan sebagai sahabat dengan lelaki tersebut.

“Sikapnya yang sentiasa positif secara tak langsung banyak memberi inspirasi kepada saya. Dia seorang yang unik. Bila bersama dengan dia, saya sentiasa mahu menjadi individu yang lebih baik,” katanya.


Kisah Yuna & Hanez

Sementara itu, Fazura berkata, sepanjang berada di L.A, banyak pengalaman menarik yang diperolehnya dan salah satunya adalah pertemuannya dengan penyanyi, Yuna.

Apatah lagi sewaktu Yuna diundang ke program terkenal di AS, Jimmy Kimmel Live di ABC Television Network, Fazura juga berpeluang hadir sama ke program tersebut dan menyaksikan Yuna membuat persembahan.

“Saya seronok sepanjang berada di sana. Rasa tak nak balik, pun ya. Tapi nak buat macam mana, kerjaya dan famili saya di sini. Apa yang menarik, persekitaran di sana sangat berbeza. Orang-orangnya sangat berfikiran positif dan relaks.

Saya suka suasananya yang sangat ceria, tak ada politik, tak ada drama. Saya sempat ke San Diego, San Fransisco dan saya sambut tahun baharu di Vegas.

“Selain tu saya sempat jumpa Yuna. Sebelum ini saya ada juga berjumpa Yuna dua tiga kali di majlis hiburan di sini dan hari kedua saya di sana, Yuna mesej saya dan ajak berjumpa. Kemudian bila berjumpa, kami berborak sakan selama tiga jam. Dia ajak saya ke rancangan Jimmy Kimmel.

“Saya sangat bangga dengan Yuna. Sewaktu di program tersebut saya satu-satunya penonton Melayu dan saya bangga bila ramai memuji bakat Yuna,” katanya teruja.

Tidak hanya berbicara mengenai Yuna, Fazura juga turut ditebak mengenai statusnya di laman Twitter yang dikatakan ditujukan buat Hanez Suraya selepas dakwaan aktres jelita tersebut meniru gaya Fazura.

Bahkan, beberapa peminat Fazura juga dikatakan turut menghentam Hanez dengan dakwaan sama.

“Mengenai status tersebut, saya tidak tujukan kepada mana-mana orang dalam industri. Sebagai selebriti, saya juga manusia biasa dan berkawan dengan orang lain. Tak semua perkara yang saya lakukan, berkait dan mempunyai sangkut paut dengan industri hiburan.

“Malah saya juga tidak rasa peminat saya membuat tindakan seperti itu kerana mereka tidak suka cari gaduh. Saya tak mahu cakap panjang mengenai perkara ini sebab saya tak tahu sangat dan hanya mengetahui selepas terbaca di akhbar baru-baru ini,” jelasnya.


Takut lihat wajah sendiri?

Dalam perkembangan lain, Fazura yang bakal muncul dengan filem Kami Histeria selepas kali terakhir membintangi filem Bujang Terlajak.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem Kami Histeria, Fazura berkata, dia membawakan watak langsuir bernama Cik Lang. Watak tersebut menuntut Fazura untuk bertutur dalam loghat utara.

“Filem ini menyaksikan saya membawakan karakter yang berbeza daripada watak-watak yang dibawakan sebelum ini.

“Saya mengambil masa selama dua hari untuk belajar bertutur dalam loghat Utara. Saya juga dikelilingi oleh mereka yang berasal dari Utara dan itu memudahkan proses pembelajaran.

“Saya selalu inginkan watak yang di luar zon selesa saya. Saya harap menerusi watak ni jadi satu permulaan dan selepas ini penerbit di luar sana boleh tawarkan saya watak yang lebih mencabar dan berlainan,” katanya.

Bukan sahaja menjayakan watak sebagai hantu, Fazura juga sanggup melakukan sendiri lagak ngeri dan menjalani proses solekan dalam tempoh yang lama.

“Semua aksi stunt dilakukan saya sendiri termasuklah memerlukan saya tergantung. Malah saya juga perlu melalui proses solekan selama empat jam dan lucunya, saya takut melihat wajah saya sendiri selepas disolek,” ujarnya.

Bukan sahaja takut melihat wajah sendiri, Fazura juga turut melalui pengalaman yang menyeramkan ketika menjalani penggambaran sekitar awal tahun lalu.

“Ada sekali, ketika kami menjalani penggambaran di dalam hutan di Shah Alam, ketika babak yang memerlukan saya mengilai, ada ‘suara lain’ yang ikut sama mengilai.

Tapi tak ada perkara buruk berlaku. Kami teruskan penggambaran dan buat seperti tiada apa yang berlaku,” katanya yang menjalani penggambaran di hutan tersebut dari jam 7 malam sehingga jam 8 pagi keesokan harinya.

Selain Fazura, filem yang menelan kos RM2 juta ini turut dijayakan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Nad Zainal, Mila Jirin, Sara Ali, Izzue Islam dan Afdlin Shauki. Kami Histeria bakal menemui penonton mulai 6 Februari 2014.

Farid, Diana enggan terburu-buru

Diana Danielle
Diana Danielle

Farid Kamil
Farid Kamil


SEJAK menimang cahaya mata sulung pada Julai lalu, ramai pihak terutamanya peminat dan media menantikan pengarah dan pelakon terkenal, Farid Kamil serta Diana Danielle memperkenalkan anak mereka kepada umum.

Lalu menerusi beberapa pertemuan lalu, Farid memaklumkan tiada majlis berendoi dilakukan sebaliknya hanya akan ada majlis aqiqah bersama majlis khatam al-Quran isterinya diadakan sempena majlis memperkenalkan anaknya yang dikenali sebagai Muhammad kepada umum.

Namun enam bulan sudah berlalu dan tiada lagi khabar mengenai majlis yang dikatakan turut melibatkan Astro bakal diadakan.

Justeru kesempatan bertemu dengan Farid baru-baru ini, digunakan pihak media untuk bertanyakan perkembangan majlisnya.

“Majlis itu tetap diteruskan cuma bergantung pada tempoh Diana menghabiskan pembelajaran al-Quran. Sekarang ini Diana masih lagi sedang belajar mengaji bersama seorang ustazah dan dia perlukan sedikit masa lagi.

“Berkenaan Astro, saya tak boleh cakap apa. Saya pun tak pasti sebab tak ada apa-apa perbincangan,” jelasnya yang turut terkejut dengan penantian orang ramai yang mahu menyaksikan anaknya.

Dalam pada itu, Diana juga ditanya mengenai kenyataan Farid yang memberitahu akan mengadakan majlis aqiqah sebaik dia tamat belajar al-Quran menjelaskan, enggan terburu-buru untuk berbuat demikian kerana mahu benar-benar memahami dan menghayati maksud ayat yang dibacanya.

“Saya mula belajar (mengaji) sejak beberapa bulan lalu. Saya tak mahu tergesa-gesa nak habiskan belajar. Untuk apa saya nak cepat-cepat habiskan semata-mata nak perkenalkan anak saya pada umum. Jadi biar lah saya tamatkan secara pelahan-lahan”, katanya.


Akaun Instagram Muhammad

Biarpun sebelum ini Farid tidak mahu terlalu melebih-lebih menonjolkan anaknya, namun lain pula ceritanya kini apabila wujud sebuah akaun Instagram khas untuk anaknya yang diberi nama MuhammadFKDD.

Difahamkan akaun itu diwujudkan oleh pihak pengurusan.

Kata Farid, biarpun adanya akaun Instagram tersebut namun anaknya tetap eksklusif. Bahkan akaun itu dianggap sebagai ruang mengabadikan saat-saat manis anaknya yang sudah mencecah enam bulan itu menjalani proses pembesaran.

“Bagi saya, anak saya tetap eksklusif. Apa yang patut dikongsi, kami kongsikan. Akaun tersebut dibuat oleh pihak pengurusan isteri saya.

“Instagram ini ibarat ‘pasport to the world’. Ia juga sebagai ruang untuk saya dan isteri abadikan detik-detik anak kami menjalani proses pembesaran dari hari ke hari,” jelasnya lagi.


Diana kurus kerana anak

Sementara itu, ditebak mengenai penyusutan ketara berat badannya selepas enam bulan melahirkan Muhammad, Diana berkata:

“Sebenarnya berat badan saya sama sahaja. Mungkin saya nampak kurus dan agak susut kerana saya menyusukan Muhammad. Saya juga menjaga Muhammad dengan sepenuhnya.

“Kehadiran Muhammad buat hidup saya sangat indah. Usianya sekarang dah masuk enam bulan. Penat tu memang penat tapi seronok menjaga dan tengok dia membesar. Dari umur tiga bulan dia dah cuba-cuba nak berdiri dan dia suka gelak,” ujarnya.

Katanya lagi, semenjak bergelar ibu, dia sudah memperlahankan aktiviti lakonannya.

“Saya tak sedap hati nak tinggalkan Muhammad dalam tempoh yang lama. Dia masih kecil dan saya tak nak bawa dia sekali semasa saya jalani penggambaran.

“Oleh kerana itu sekarang saya memilih dari segi skrip dan watak. Kalau berbaloi, saya terima. Saya lebih rindu anak daripada rindu berlakon sebenarnya,” katanya yang enggan berlakon di bawah arahan suaminya.

Dalam pada itu, tatkala ditebak mengenai hubungannya dengan ibunya, Norsiah Ramli, Diana enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

“Jangan sentuh mengenai hal itu,” katanya ringkas sambil membuat isyarat pangkah.

Sinar Harian 

Judi haram dari telefon bimbit

Judi haram dari telefon bimbit
Bimbang ditahan pihak berkuasa kerana berjudi haram di pusat siber, kaki judi kini mengubah taktik dengan berjudi secara online melalui telefon bimbit masing-masing.


IPOH – Bagi mengelakkan daripada dicekup pihak berkuasa, kebanyakan kaki judi mengubah taktik dengan berjudi secara talian (online) melalui telefon bimbit dan komputer peribadi menggunakan aplikasi tertentu.

Ternyata operasi yang sering dilakukan oleh pihak berkuasa tidak mampu membanteras sepenuhnya kegiatan perjudian haram.

Menurut sumber, perjudian secara online menjadi pilihan kaki judi kerana dikatakan lebih mudah dan kurang risiko ditahan.

Katanya, untuk memulakan permainan, pemain perlu mendapatkan username dan kata laluan disediakan oleh pihak penganjur terlebih dahulu.

“Ini kerana sekiranya kita membuka laman web berkenaan, memang kandungannya seperti tiada apa-apa.

“Tetapi untuk menggunakannya, pemain perlu menghubungi nombor telefon yang hanya kaki judi judi 'berdaftar' sahaja yang mengetahui laman web itu serta dapat mengaksesnya,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, penganjur akan memantau sepenuhnya pemain yang mahu menggunakan lawan web itu dengan bertanyakan pelbagai soalan demi keselamatan bagi mengelak mereka dikesan pihak berkuasa.

“Mereka akan bertanyakan rakan yang mengesyorkan laman web serta username digunakannya sebelum memberi username kepada pelanggan baharu.

“Malah, pemain perlu masukkan wang ke dalam akaun disediakan sebelum memulakan permainan serta pemain akan menerima hadiah kemenangan menerusi  akaun bank,” jelasnya.

Beliau berkata, sindiket perjudian haram secara online sukar untuk dibanteras menyebabkan aktiviti itu semakin menular.

Pada masa sama, sebuah perniagaan salun di sini didapati turut menjalankan aktiviti perjudian berkomputer yang beroperasi 24 jam dengan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

Premis yang mempunyai dua lapisan pintu masuk itu hanya dimasuki pelanggan tetap yang dikenal pasti menerusi CCTV di pintu hadapan premis terbabit.


Tinjauan Sinar Harian mendapati premis yang pernah diserbu polis pada Julai tahun lalu itu masih meneruskan operasinya dan masih dikunjungi kaki judi.
Aktiviti sukar dikesan


Rata-rata penduduk ditemui mengakui, kewujudan premis yang menawarkan aktiviti perjudian secara online agak sukar dikesan kerana berselindung di sebalik urus niaga lain seperti pusat komputer dan hiburan.

Haslinda Daud, 25, dari Lumut berkata, kelicikan pengusaha premis terbabit menyembunyikan aktiviti haramnya menyebabkan penduduk berhampiran tidak menyedarinya.

“Mereka juga kadang kala beroperasi pada waktu-waktu tertentu untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Sufian Ahmad, 37, dari Sungai Siput yang berkata, kebanyakan premis judi haram terletak di lokasi tersorok dan mempunyai pintu khas bagi membolehkan pelanggan melarikan diri ketika diserbu.

“Lebih menyedihkan, ramai orang Islam mengunjungi premis ini dan berhabis puluhan malah ratusan ringgit dengan bermain judi,” katanya.

Sufian mengakui kegilaan judi secara online tidak lagi terhad kepada orang dewasa apabila semakin ramai remaja mengunjungi pusat-pusat seperti itu.

Mohd Fauzi Mohd Sood, 41, dari Manjung pula berkata, kelicikan premis judi haram dalam menjaga perniagaannya  menyebabkan usaha membanteras seringkali gagal.

Katanya, premis judi ini dilengkapi CCTV untuk mengesan kehadiran pihak berkuasa.

“Hanya mereka yang dikenali sahaja dibenarkan masuk ke premis judi tersebut. Pelbagai taktik digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa termasuk berselindung di sebalik kafe siber," katanya.

Seorang penduduk dari Selama, Mohammad Afendi Rosli, 35, berkata, aktiviti judi online tidak hanya tertumpu di kawasan bandar malah wujud di pekan kecil seperti di Selama.

“Kita bimbang dengan aktiviti negatif ini sekiranya tidak dibendung akan menyebabkan jenayah anti sosial yang lain," katanya.

Pendapat itu disokong Siti Aishah Zulkarnain, 28, dari Karai yang memaklumkan, serbuan dan rampasan dibuat pihak berkuasa belum tentu menjamin aktiviti dapat dibanteras sepenuhnya.

Menurutnya, terdapat sebuah premis judi haram di kawasan itu yang pernah diserbu pihak berluasa tetapi tetap beroperasi semula.

“Kedudukan premis itu sangat terpencil dan kereta pun sukar untuk memasukinya. Kalau naik motosikal, baru senang untuk masuk,” katanya.

Mengulas isu sama, Irwan Ismail, 32, dari Taiping berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih peka dengan pertambahan pusat hiburan di kawasan pentadbirannya.

Katanya, kewujudannya perlu dibanteras hingga ke akar umbi seperti menutup operasi dan juga lesen perniagaan mereka ditarik semula.


“Masalah ini hanya akan memudaratkan terutamanya orang Islam. Sebagai contoh, ada juga sebahagian rumah judi, pekerjanya adalah dalam kalangan orang Melayu beragama Islam,” katanya.

- Sinar Harian 

Operasi mencari dan menyelamat: Taman Negara Pulau Pinang ditutup

GEORGETOWN - Taman Negara Pulau Pinang ditutup sementara kepada pengunjung mulai hari ini bagi memberi laluan kepada operasi mencari dan menyelamat dua lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut ombak kuat di Pantai Kerachut, Teluk Bahang, dekat sini semalam.

Pegawai Penguasa Taman Negara, Saat Yaakob berkata, pintu masuk kedua menuju ke taman itu dari Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau turut ditutup sepenuhnya kepada orang awam.

"Sebarang kesulitan amat dikesali dan tarikh dan waktu taman ini beroperasi semula akan dimaklumkan kemudian selepas operasi mencari dan menyelamat tamat," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya pengunjung boleh mendapatkan maklumat semasa di pusat informasi di luar Taman Negara Teluk Bahang yang dibuka kepada orang awam dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Dalam perkembangan sama, Saat berkata pengurusan taman negara turut membantu pasukan menyelamat dalam operasi mencari dua mangsa berkenaan menggunakan sebuah bot pada pukul 7.30 pagi ini.

Terdahulu operasi mencari dan menyelamat diperluaskan sehingga ke kawasan perairan Balik Pulau dan Gunung Jerai dengan bantuan helikopter.

Operasi itu melibatkan lebih 40 anggota terdiri daripada pasukan Polis Marin Wilayah Utara, Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pada kejadian pukul 4.17 petang semalam, seorang wanita dikenali sebagai P.Yogambigai, 24, meninggal dunia manakala Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, dan Ashwanpaljit Singh Charnjit Singh, 22, dikhuatiri lemas selepas mandi di pantai berkenaan.

Mereka adalah antara 24 pekerja sebuah syarikat di Prai, dekat sini yang menyertai kem bina diri di Taman Negara Teluk Bahang. - Bernama

Kecurian cincin berlian RM5.2juta: Polis, Interpol bekerjasama

Polis, Interpol bekerjasama
Keratan akhbar Sinar Harian semalam.


SHAH ALAM – Polis bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki tiga wanita warga China serta seorang kanak-kanak yang dipercayai mencuri sebentuk cincin bernilai RM5.2 juta di Bukit Bintang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sudah berhubung dengan kedua-dua agensi terbabit bagi mengesan semua suspek yang terlibat.

“Kita memantau dan memerlukan maklumat daripada agensi terbabit sama ada kesemua suspek masih berada dalam negara atau tidak.

“Kita juga turut bekerjasama dengan pihak-pihak hotel kerana kumpulan suspek itu berkemungkinan menginap dan bersembunyi di premis mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Zainuddin berkata, setakat ini polis masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai kumpulan suspek berkenaan.

“Bagaimanapun kita yakin dapat menjejaki mereka dan seterusnya membuat tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Khamis lalu, suspek memasuki sebuah kedai barang kemas di Bukit Bintang sebelum berjaya melarikan cincin jenis Solid Errexxtarr.

Dipercayai, seorang daripada mereka mencuri kunci dari dalam laci sebelum membuka petak cermin pameran di dinding premis tersebut. Namun, suspek sempat meletakkan semula kunci itu ke dalam laci sebelum melarikan diri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai suspek melakukan jenayah itu hasil maklumat yang diberikan tiga lelaki warga China yang masuk ke premis berkenaan dengan meminta jurujual di situ membuka petak cermin pameran dinding bagi melihat cincin berlian berkenaan. - Sinar Harian 

Misteri di sebalik kedai kosong di Pulau Pinang

Misteri di sebalik kedai kosong
Jika diperhatikan dengan teliti pintu kedai ini telah diubah suai dan kelihatan seolah-olah ditutup sedangkan ada aktiviti di dalamnya.

Misteri di sebalik kedai kosong
CCTV diletakkan di pintu belakang pusat judi berkenaan dan hanya orang tertentu dibenarkan masuk.


GEORGETOWN - Jika diperhatikan dari depan, kelihatan premis kedai itu seakan-akan kosong dan tidak berpenghuni, namun siapa sangka di dalamnya menempatkan puluhan komputer yang telah diubah suai khas untuk kaki judi.

Tidak mempunyai papan tanda, pintu depan dikunci dan kawasan kedai kelihatan suram itu antara helah yang digunakan pengusaha pusat judi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di sini mendapati taktik itu banyak digunakan oleh pengusaha pusat judi dan mereka menjadikan pintu belakang sebagai laluan rahsia untuk pelanggan masuk.

Bukan itu sahaja, pemerhatian mendapati premis itu juga dipantau rapi kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya pelanggan tetap dan individu tertentu dibenarkan masuk.

Ada juga premis guna papan tanda perniagaan lain seperti pusat sukan dan pusat latihan komputer, namun di dalamnya adalah pusat judi.

Sinar Harian sempat menemu bual seorang penyelia pusat judi bagi mengetahui lebih lanjut modus operandi mereka.

Atas sebab keselamatan, dia tidak mahu identitinya didedah dan enggan gambarnya dirakam selain hanya mahu dikenali sebagai Garry.

Menurut Garry, untuk mengenal pasti premis itu menjalankan kegiatan judi bukanlah sukar.

Pelanggan hanya perlu melihat keadaan luar kedai kerana ada beberapa tanda digunakan yang biasanya difahami individu tertentu atau pelanggan tetap.

“Kebiasaannya pengusaha kedai judi akan menampal kertas yang tertulis perkataan seperti Google, Internet dan beberapa perkataan lain di pintu depan atau belakang premis berkenaan.

“Selain itu, ada juga antara pengusaha judi menampal logo di premis judi mereka seperti logo motosikal, lambang pasukan bola sepak dan imej kartun Master Q,” katanya.

Ditanya mengenai permainan atau jenis pertaruhan yang dilakukan di dalam premis berkenaan, Garry berkata, antara permainan yang sering mendapat sambutan ialah Rolex, Black Jack, slot dan tidak kurang juga ada kaki judi yang gemar bertaruh secara dalam talian (online).

Katanya, pelbagai hadiah ditawarkan pusat judi untuk menarik lebih ramai pengunjung antaranya motosikal dan baucar membeli belah.

“Disebabkan terlalu banyak pusat judi bersaing sesama sendiri, ada pengusaha memberi minuman percuma atau menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan lain.

“Tapi di Pulau Pinang saya tidak pernah dengar pula pusat judi menawarkan hadiah yang terlalu lumayan ataupun perempuan, untuk menarik pelanggan,” katanya.

Garry berkata, pelanggannya tergolong daripada pelbagai kaum dan kebanyakan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Mereka biasa menghabiskan sekurang-kurangnya RM50 sehari untuk bertaruh malah ada yang mengeluarkan modal besar demi melayani ketagihan judi mereka.

Dia turut mengakui setiap pusat judi di negeri ini dijaga tonto dan pelanggan di dalam tidak perlu risau kerana setiap kali serbuan dibuat oleh pihak berkuasa sudah pasti mereka akan mendapat maklumat dengan cepat.

Garry bagaimanapun berkata, kini kebanyakan pengusaha pusat judi tidak senang duduk berikutan terlalu banyak operasi dijalankan pihak berkuasa.

Perarakan bantah tindakan hina PM


Perarakan bantah tindakan hina PM
Ahli NGO dan parti politik berarak mengeliling Bandar Sunway bagi melahirkan rasa tidak puas hati mengenai isu kangkung hari ini.


BUTTERWORTH - Beberapa NGO dan parti politik menggerakkan ahlinya untuk berarak dan berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sunway Carnival hari ini bagi membantah tindakan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon menghina perdana menteri.

Perhimpunan yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu bermula di Jalan Todak sebelum berarak hampir satu kilometer sambil membawa pelbagai sepanduk ke pusat beli-belah terbabit.

Turut menyertai perarakan ialah Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said dan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Reezal Merican berkata, perhimpunan yang diadakan adalah untuk menunjukkan bantahan terhadap tindakan pemimpin PKR yang menyumbat kangkung ke dalam karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Pemimpin diangkat oleh rakyat dan dipilih berteraskan demokrasi bagi mewakili suara kita semua.

"Tindakan dia (Khai Loon) bukan hanya mempersenda malah menyakitkan hati kami semua kerana tidak menghormati pemimpin negara.

"Justeru, satu lagi perhimpunan akan diadakan esok di Alma bagi memastikan suara umat Islam di negeri ini didengari semua pihak," katanya.

Rabu lalu, Khai Loon memuat naik gambar terbabit melalui akaun Twitternya menerusi program flash mob "I Love Kangkung" bagi membantah kenaikan harga barang di tapak pasar malam Alma. - Sinar Harian 

Bot karam: Operasi cari 8 mangsa diteruskan

MUKAH - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lapan penduduk kampung yang hilang apabila bot panjang yang mereka naiki terbalik di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro, kira-kira 150 kilometer dari sini semalam, disambung semula jam 7 pagi ini.

Kira-kira 100 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Mukah, Sungai Merah dan Sibu terlibat dalam operasi itu.

Mereka disertai pegawai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam, polis, Ikatan Relawan Rakyat, Lembaga Sungai Sarawak dan penduduk tempatan.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 tengah hari itu, 27 penduduk Kampung Tekajong dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai apabila bot yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak besar.

Enam belas penumpang terselamat, manakala lapan masih hilang dan tiga disahkan meninggal dunia.

Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Melati Jerah, 51, Sekiah Kifli, 49, dan Merah Murni, 55.

Mayat mereka dijangka dibawa pulang ke Kampung Tekajong untuk dikebumikan tengah hari ini. - Bernama

Nota cinta Adira untuk....

Adira

Adira


SEBELUM ini, penyanyi berkulit putih melepak, Adira, pernah dikatakan menjalinkan hubungan dengan jejaka yang berasal dari Kelantan.

Khabar angin itu semakin bertiup kencang apabila kedua mereka dikatakan menempah baju perkahwinan.

Meskipun telah menafikan berita itu, pelantun lagu Ilusi ini bagaimanapun kembali mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik status romantik dengan sekeping gambar dalam dialek Sabah, di laman Instagram;

"Nung koeilo ko piro ginumu sayang ku dika...aharap oku insan tadau koeilo ko...doa ku kuma dika kasasarii.."

Setelah dialih bahasa, nota itu membawa maksud mengenai rasa cinta Adira terhadap seseorang.

"Kau tahukah betapa banyak sayang saya sama kamu. Dan saya harap satu hari nanti kamu akan tahu".

Yang pastinya, luahan itu menyingkap persoalan bahawa Adira kini dilamun cinta bersama jejaka dikenal dengan nama Shahrul.

Malah peminatnya turut komen statusnya itu berharap hubungan mereka berdua hingga ke jinjang pelamin. - Sinar Harian 

Bot karam di Sarawak: Tiga disahkan lemas, lapan masih hilang

MUKAH: Tiga orang mati lemas selepas bot panjang rombongan perkahwinan terbalik ketika dalam perjalanan dari Kampung Saei ke Kampang Tekajong, Pulau Bruit, Matu di Mukah. 

Menurut maklumat yang diterima pada jam 8 malam, nama-nama mangsa adalah Melati Jerai (51 tahun), Sekiah Kifli (49 tahun) dan Merah Murni (55 tahun).

Lapan orang masih belum dijumpai manakala 16 orang dapat diselamatkan. 

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Matu/Daro DSP Wagner Lisa Libut berkata ketiga-tiga mangsa merupakan wanita berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun.

"Semua penumpang bot berasal dari Kampung Tekajong, Pulau Bruit dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saei. Menurut maklumat awal keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, namun bot panjang terbalik dipukul ombak besar," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dan Sibu dan turut melibatkan pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia.

Astro Awani 

Nasi lemak pembalut luka

Nasi lemak sambal plaster
Plaster penutup luka ini ditemui dalam nasi lemak dimakan oleh pengadu.

Nasi lemak sambal plaster
Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (dua, kanan) turut hadir pada sidang media diadakan di Pejabat Adun Rahang, semalam.


SEREMBAN - Seorang wanita terkejut bukan kepalang apabila menjumpai cebisan pembalut penutup luka dalam nasi lemak yang dihidangkan kepadanya oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan, baru-baru ini.

Pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Tay, 33, berkata, kejadian itu berlaku pada 6 Januari lalu sekitar jam 10 pagi, ketika sedang mengikuti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan atas urusan kerja.

“Semasa dihidangkan, saya tidak nampak sebarang keganjilan pada nasi lemak tersebut. Bagaimanapun, selepas menghabiskan hampir 80 peratus nasi lemak berkenaan, barulah saya perasan ada sesuatu yang tidak kena.

“Pada awalnya, saya sangkakan objek ditemui hanyalah cebisan sotong dalam sambal nasi lemak. Namun, saya mula berasa loya dan jijik apabila mendapati benda asing itu merupakan pembalut luka terpakai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, tidak berpuas hati dengan kejadian itu, dia segera memanggil ketua krew kabin bertugas untuk melihat sendiri objek dijumpai dalam makanan yang mereka sediakan.

“Malangnya, respons diterima agak mengecewakan. Dia kelihatan acuh tidak acuh apabila diberitahu penemuan plaster luka berkenaan dan sekadar meminta saya mengemukakan aduan bertulis untuk tindakan susulan.

“Sehingga kini, saya masih menunggu jawapan daripada mereka (syarikat penerbangan) yang terus berdiam diri dalam hal ini,” katanya.

Menurutnya, kesal dengan syarikat penerbangan tersebut yang seolah-olah bersikap lepas tangan terhadap masalah dihadapi menyebabkan dia membuat aduan kepada media.

“Bukan wang ringgit atau pampasan yang saya mahukan, cukuplah sekadar permohonan maaf daripada mereka. Saya harap, tindakan sewajarnya juga dapat diambil agar kejadian sama tidak berulang.

“Mujurlah saya tidak mengalami masalah kesihatan serius kecuali sedikit alahan pada kulit selepas makan hidangan itu. Sedikit sebanyak, saya berasa trauma dan serik untuk untuk menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Adun Rahang, Mary Josephine yang ditemui di pejabatnya, dekat sini berkata, pihaknya bersedia membantu pengadu dalam segala aspek.

“Kecuaian dilakukan tidak boleh diterima. Nama baik negara pasti akan tercemar jika pelancong asing yang berdepan situasi sebegini.

“Kita minta pihak berkaitan beri perhatian serius dalam perkara ini dan kita berikan tempoh seminggu untuk beri maklum balas,” katanya. - Sinar Harian 

Luna Maya enggan dedah identiti kekasih


KUALA LUMPUR: Akui hatinya sudah dimiliki pelakon Indonesia, Luna Maya bagaimanapun lebih selesa merahsiakan identiti lelaki tersebut.

Luna menyatakan dia akan memperkenalkan jejaka itu apabila tiba masa yang sesuai.

Aktres jelita itu menyifatkan hubungannya dengan jejaka tersebut masih dalam fasa berkenalan.

Sementara itu, filem terbaru Luna, Killers akan ditayangkan pada Festival Filem Sundance, 21 Januari ini.




Astro Awani 

Isu harga naik: Kena ikut cara MB N.Sembilan

Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan


SHAH ALAM - Pengguna laman sosial Facebook berharap para menteri dapat mengikut cara Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam berdepan dengan isu kenaikan harga barang.

Melalui sebuah video ucapannya yang berdurasi 5.01 minit pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan itu, Isnin lepas yang disebar di Facebook, Mohamad Hasan menjelaskan soal penarikan subsidi gula dan minyak.

Antara petikan ucapan tersebut menyebut “kalau boleh setiap bulan panggil mesyuarat, beritahu apa yang naik, apa sebab gula naik.

"Kerajaan tarik subsidi, jadi naiklah harganya. Bukan sebab nak elak orang kencing manis," katanya.

Pemilik akaun Facebook, M Suhaimi Alfitri menyebarkan video itu dengan kapsyen yang memuji ucapan tersebut.

"Penjelasan terbaik berhubung harga gula dan petrol naik oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Saya berharap ianya datang dari mulut Datuk Seri Najib Razak atau Tan Sri Muhyidin Yassin tapi tidak," tulisnya. - Sinar Harian