Saturday, 15 February 2014

'Banjir' di Mutiara Damansara berjaya dikawal


KUALA LUMPUR: Jalan menghala ke Mutiara Damansara yang dilaporkan banjir akibat paip pecah sebentar tadi telah berjaya dikawal oleh pihak bomba dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menurut Pegawai Kanan Bomba 2 bahagian Balai Bomba dan Penyelamat, Damansara Utama, Jaswant Singh, kejadian tersebut disalah anggap sebagai banjir walhal ia hanyalah kejadian paip bocor yang menyebabkan air melimpah.

“Bukan banjir. Terdapat satu paip air utama di Jalan Persiaran Surian telah pecah yang menyebabkan air melimpah. Pihak bomba telah menghubungi pihak Syabas dan masalah ini telah pun diselesaikan oleh Syabas sebentar tadi,” kata Jaswant.

Tambah Jaswant lagi, tiada kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian limpahan air tersebut berlaku dan kini keadaan sudah terkawal.

Walaubagaimanapun, insiden ini telah menyebabkan kerisauan terhadap pengguna yang berkongsi maklumat serta foto di laman media sosial.

Rata-rata mengeluh akibat kesesakan lalu lintas teruk yang terjadi akibat perkara ini.


Why of all days Mutiara Damansara banjir today!!!!!!
— Dayang Souraya (@dayangsouraya) February 15, 2014
Banjir di Mutiara Damansara sebab paip pecah. Dah boleh menyesal lah siapa yg nak pergi Curve/Ikea petang nipic.twitter.com/ftSqUYoQv1— #Izzatshukri (@izzatshukri_) February 15, 2014
Dahsyat area mutiara damansara pun boleh banjir..mmg jam teruk laa org yg nak gi curve,ikano n ikea..— Shahmi (@KunShahmi) February 15, 2014


Astro Awani 

Proton Exora terbakar, dua kanak-kanak nyaris rentung


KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak nyaris rentung apabila kereta yang mereka naiki dengan tiba-tiba terbakar di perkarangan tempat letak kenderaan di Hospital Selayang semalam.

Sumber memberitahu ketika kejadian, dua kanak-kanak tersebut ditinggalkan sebentar dalam kenderaan tersebut oleh ibu bapa mereka yang datang ke hospital tersebut untuk melawat anggota keluarga mereka.

Tindakan pantas orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Zaki Zakaria berkata bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.53 petang dan jentera bomba pertama tiba 10 minit kemudian.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikerah ke tempat kejadian dan kita mendapati sebuah kereta Proton Exora telah mengalami kebakaran yangtelah memusnahkan keseluruhan kereta tersebut,”

Malah, sebuah motorsikal Modenas Kriss yang diletakkan berhampiran kereta tersebut turut disambar api yang memusnahkan 30 peratus dari kerangka motor tersebut.

Punca kejadian masih disiasat.

Astro Awani 

BR1M 3.0 diagih dalam tempoh 20 hari


KUALA LUMPUR: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Februari depan akan diagihkan dalam tempoh 20 hari.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bayaran akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank penerima secara serentak di seluruh negara selepas pelancaran itu.

Langkah itu bagi memastikan penerima BR1M tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan tersebut seperti sebelum ini.

Bagi yang tidak mempunyai akaun bank pula, mereka akan menerima baucer secara berperingkat bermula 23 Februari.

"Kami mahu ia diagihkan dalam tempoh tidak lebih daripada 20 hari. Ada juga orang yang kata bahawa kita mesti melaksanakan seperti dulu melalui majlis penyampaian tetapi kami mengatakan tidak kerana rakyat memerlukan bantuan wang sekarang. Oleh itu, kita nak buat sekali masuk bank habis satu hari itu. Maknanya dapat untuk mereka yang ada akaun bank. Yang tidak mempunyai akaun bank pula akan kami umumkan kelak lokasi pengagihan baucer kelak." kata Ahmad Husni.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar khas mengenai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di ibu negara hari ini.

Najib dijangka melancarkan BR1M di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Tambah beliau daripada lebih 7 juta penerima BR1M 3.0, 4 juta daripadanya mempunyai akaun bank manakala lebih 2 juta lagi tidak mempunyai akaun bank.

Sejumlah RM4.2 bilion diperuntukkan bagi BR1M yang bakal memanfaatkan 4.62 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.

Kriteria pemberian BR1M 3.0 juga menyaksikan penambahbaikan berbanding BR1M sebelum ini termasuk penambahan nilai bantuan sekitar RM50 hingga RM150.

Bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM3000 dan ke bawah, nilai bantuan ditingkatkan daripada RM500 kepada RM650.

Kategori bantuan juga diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

Warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tinggal sebatang kara pula menerima kenaikan jumlah BR1M iaitu daripada RM500 dan RM650.

Sementara itu, bagi kategori bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 dan ke bawah, bantuan akan ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300.

Di bawah BR1M 3.0, kerajaan turut memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000, sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Tempoh perlindungan adalah bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2014.

Inisiatif itu tambah Ahmad Husni diambil sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat selaras dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah.

Astro Awani 

Banjir Sabah: Kanak-kanak 2 tahun lemas selepas terjatuh bot penyelamat


KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 pusat pemindahan banjir telah dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir yang kini melanda daerah Tenom dan Beaufort di Sabah.

Berdasarkan maklumat dari laman sesawang Portal Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), sehingga jam 11.53 pagi tadi, seramai 5,453 mangsa telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Jumlah tersebut pula merangkumi seramai 1,172 keluarga.

Banjir yang melanda bagaimanapun telah meragut dua nyawa apabila seorang kanak-kanak perempuan, Maisarah Bihar, 2, mati lemas selepas terjatuh dari bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dikerah untuk memberi bantuan menindahkan mangsa-mangsa banjir di daerah Keningau pada Khamis.

Ketika kejadian bot tersebut sarat dinaiki oleh mangsa-mangsa banjir yang cuba dipindahkan oleh anggota bomba dan penyelamat, namun secara tiba-tiba arus kuat menghentam bot tersebut menyebabkan mangsa-mangsa pemindahan yang berada dalam bot tersebut menjadi panik dan terus berdiri.

Menurut sumber bomba, bot tersebut hilang kawalan dan terbalik dan menyebabkan sembilan mangsa banjir termasuk Maisarah terjatuh dari bot.

Anggota bomba dan penyelamat bagaimanapun berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dari terus hanyut namun ketika mereka menyelamatkan Maisarah, ianya sudah terlambat.

Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun menjadi korban lemas kedua apabila terjatuh dari jambatan berdekatan rumahnya di Kampung Lubak di Keningau malam tadi.

Mayatnya bagaimanapun berjaya ditemui oleh ahli keluarganya dan mayat dibawa ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia pula melaporkan ribut petir dan hujan lebat akan berlaku di beberapa bahagian di Sabah Sarawak pada hari ini.

Ini termasuklah di bahagian pedalaman daerah Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang dan Tenom, di pantai barat daerah Tuaran dan Penampang, Kudat dan Labuan dan di Sarawak pula, bahagian Limbang dijangka akan mengalami cuaca yang sama sehingga lewat petang.

Keadaan yang sama turut dijangka berlaku di bahagian pedalaman daerah Keningau dan Tambunan, kawasan Pantai Barat di daerah Kota Belud, Kota Kinabalu dan Papar dan kota Marudu manakala di Sarawak pula adalah di bahagian Miri.

Malah, keadaan ini dijangka akan menyebabkan angin kencang dan banjir kilat.

Astro Awani 

Keldai dadah warga Vietnam dicekup cuba masuk seperti pelancong


ALOR SETAR: Lagaknya seolah-olah tidak melakukan kesalahan dengan memasuki negara ini seperti pelancong lain, malah menggalas beg pakaian yang jauh lebih berat.

Bagaimanapun taktik lelaki warga Vietnam itu untuk menyeludup dadah berjaya dihidu Kastam Diraja Malaysia Kedah selepas menemui 3.319 kg dadah jenis syabu bernilai RM630,610 dalam beg galasnya.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di unit pemeriksaan penumpang bas dan pejalan kaki di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 4.40 petang, Rabu lepas.

Pengarah Kastam Negeri Datuk Abdul Aziz Abdul Latif ketika melakukan imbasan ke atas beg galas suspek mendapati terdapat imej yang mencurigakan serta berat beg yang berisi pakaian itu lebih berat dari sepatutnya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dalam beg suspek berkenaan terdapat dua bungkusan yang dilekatkan dengan pita pelekat bewarna coklat yang mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu.

Modus operandi suspek adalah dengan mengubahsuai beg tersebut dengan melekatkan bungkusan dadah pada dinding beg itu dibahagian depan dan belakang sebelum meletakkan pelbagai jenis pakaian.

Beliau berkata suspek yang menjadi keldai dadah itu dipercayai dalam perjalanan dari Bangkok, Thailand ke Kuala Lumpur untuk menghantar syabu.

Abd Aziz berkata, suspek yang juga pekerja di sebuah kilang di Vietnam dipercayai mengambil dadah itu dari satu sindiket di Bangkok, Thailand untuk di pasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Ini kali pertama yang dia masuk ke sini menggunakan pasportnya. Dia kelihatan tenang dan tidak nampak seperti takut. Dari pandangan saya, suspek berusia lebih lebih kurang 30-an dan belum berkahwin,” kata Abdul Aziz.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh berdepan dengan hukuman mati mandatori.

Astro Awani 

PLUS buka laluan kontra di lebuhraya baru Lembah Klang



KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) akan membuka laluan kontra di Km23.3 hingga Km25.4 dan Km26.75 hingga Km28.65 di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Bukit Lanjan hingga Plaza Tol Jalan Duta selama empat hari, mulai Isnin ini.

Menurut kenyataan Plus pada Jumaat, laluan kontra itu antara 11 malam dan 4 pagi bagi memudahkan kerja-kerja memasang rasuk untuk pembinaan jambatan menyeberang Segambut Dalam dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Plus menasihatkan pemandu mematuhi papan tanda lalu lintas trafik dan arahan di kawasan itu.


Bernama

Pemburu cinta limau Mandarin


Limau Mandarin

KUALA LUMPUR: Biarpun baru putus cinta sebulan lalu, Lyri Ng tidak pernah berputus asa untuk mencari lelaki idamannya.

Bagi wanita berusia 22 tahun ini, dia selalu mendengar kisah rakan-rakan yang pernah menemui pasangan hidup mahupun suami pada malam Chap Goh Mei menarik minatnya untuk mencuba.

Chap Goh Mei atau dalam bahasa Hokkien, malam kelima belas dipercayai membawa tuah cinta kepada mereka yang belum berpasangan.

Juga dikenali sebagai hari kekasih atau hari Valentine versi Cina, golongan muda yang belum berkahwin akan berkumpul untuk membaling limau ke dalam sungai atau tasik dengan harapan untuk mencari pasangan hidup mereka.

Limau Mandarin

                                                                             Lyry Ng


Lyri yang mengambil bahagian dalam tradisi itu buat pertama kalinya menulis nama dan nombor telefon pada buah limau mandarin dengan harapan dikutip oleh lelaki idamannya.

"Saya baru 'clash' dengan boyfriend jadi sangat sedih lah. So datang sini kenal kawan baru."

Lyri adalah seorang daripada ratusan wanita yang mengambil bahagian dalam acara buang limau Chap Goh Mei pada malam tadi di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

Limau yang dibuang ke tasik pula akan dikutip oleh peserta lelaki yang ingin mencari teman wanita.

Biarpun hujan lebat, namun ia tidak menghalang ramai wanita dan lelaki yang tidak berpasangan memeriahkan sambutan Chap Goh Mei menandakan semangat tinggi untuk mencari pasangan hidup menerusi acara setahun sekali itu.

Namun bagi penulis berasa agak keliru mengapa Lyri yang masih muda dan mempunyai rupa paras yang cantik memerlukan bantuan daripada limau mandarin untuk mencari cinta?

"Tengok kepada jodoh lah, kalau Tuhan nak bagi, kita akan dapat cari pasangan yang baik." jelas Lyri.

Bagi golongan lelaki pula mereka berasa cukup seronok mengutip limau kerana ia dilihat cara mudah untuk bertemu rakan wanita yang baru.

Lee Ming Fai, 30 tahun berjaya meraih lebih 10 buah limau dengan harapan peluang tinggi dapat menemui wanita idamannya.

"Saya ada mendapat banyak limau. Selalunya saya akan menghantar SMS kepada mereka." kata Lee.

Bagi Roy Tee yang pernah menyertai acara itu pada tahun-tahun sebelumnya mengakui bukan senang berjumpa pasangan dengan mengutip limau.

"Tahun lalu, saya dapat ramai kenalan tetapi ramai daripada mereka sebenarnya tinggal jauh malah ada yang sehingga di Sabah dan Sarawak. Jadi agak sukar untuk bertemu selalu. Tetapi seronok lah dapat buat kawan baru." kata Tee.

Namun di era komunikasi lebih mudah menerusi internet dan pelbagai laman sosial, Lyri masih berpendapat cara membaling limau lebih berkesan.

"Sebab Facebook terlalu banyak orang kan, kita tidak tahu orang itu baik atau tidak. Jadi ini pertama kali saya nak cuba cara ini untuk kenal kawan-kawan baru." kata Lyri lagi.

Namun bagi mengikut trend semasa, ada juga menulis alamat email atau nama akaun Twitter, Facebook dan WeChat di atas limau.

Ada juga yang sudah berpasangan tetapi turut mengambil bahagian semata-mata untuk merasai kemeriahan sambutan itu.

"Teman wanita saya ingin datang mengalami sendiri pengalaman ini kerana kami tidak pernah sertai aktiviti seperti ini dan kami jangkakan ia akan menjadi acara yang meriah." kata Daniel Tan yang hadir bersama teman wanitanya, Penny.

Limau Mandarin

Secara tradisi pada malam Chap Goh Mei, kaum wanita yang belum kahwin akan buang limau kerana dipercayai dalam masyarakat Hokkien bahawa "buang limau dapat suami baik" dan bagi lelaki "buang epal dapat isteri baik". Namun disebabkan harga epal yang lebih mahal, trend lebih popular sekarang membabitkan lelaki yang belum berpasangan akan membuang pisang.

Ada juga tulis harapan pada limau kerana dipercayai malam Chap Goh Mei cukup bertuah dan segala hasrat akan termakbul.

Apa yang pasti kemeriahan Chap Goh Mei dapat dirasai dengan masyarakat Tiong Hua berkumpul untuk meraikan hari kelima belas Tahun Baru Cina sebagai simbolik penutup sambutan itu.

Astro Awani 

The Act of Killing buka sejarah pedih Indonesia


Anwar Congo tidak menyembunyikan hakikat bahawa dengan tangannya sendiri dia pernah membunuh lebih kurang 1,000 orang yang didakwa sebagai komunis di Indonesia pada 1960-an dan dia bermegah-megah tentang cara bagaimana dia membunuh mereka.

Dia menggunakan bongkah kayu untuk memecahkan tengkorak mangsanya; menyembelih sesetengahnya dengan parang atau melilitkan dawai besi pada tengkuk yang katanya menghapuskan mereka dengan lebih cepat dan berkesan.

Pengakuan Anwar yang menakutkan itu menjadi rangka cerita dalamdokumentari Jagal atau Act of Killing arahan Joshua Oppenheimer. Dokumentari yang merakamkan cerita tukang sembelih yang membunuh sekurang-kurangnya 500,000 orang yang dituduh komunis itu dicalonkan untuk Oscar.

Menurut Oppenheimer, perhatian yang diberikan dari serata dunia terhadap filem itu memaksa Indonesia untuk menangani episod hitam dalam sejarahnya -- sejarah yang memulakan pemerintahan 32 tahun Suharto.

"Saya seperti berada di Jerman 40 tahun selepas Holocaust dan melihat Nazi masih berkuasa," kata Oppenheimer, merujuk kepada watak-watak yang diangkat dalam dokumentarinya.

"Mereka sangat bangga dengan apa yang telah mereka lakukan dan selalu bercerita tentangnya dengan wajah yang tersenyum," katanya.

Dalam filem itu, mereka yang terlibat jadi pembunuh dalam tindak balas kepada rampasan kuasa tentera yang gagal pada akhir 1965 itu tidak menunjukkan sedikit pun kekesalan.

"Apa yang saya harap -- sekiranya ada tuah filem ini menang Anugerah Akademi -- ia akan menggalakkan rakyat Indonesia mempertanggungjawabkan pemimpin mereka atas jenayah ini," kata Oppenheimer.

Sesetengah pihak di Indonesia tidak mengalu-alukan filem ini. Mereka mendakwa republik itu sudah melakukan langkah-langkah untuk menangani episod itu. Ia merasakan campur tangan dari luar menjejaskan proses itu.

Jagal/Act of Killing dicalonkan untuk Oscar bagi Dokumentari Terbaik. Ia juga dicalonkan untuk dua anugerah Bafta yang akan berlangsung pada Ahad.

Ketika Oppenheimer tampil ke hadapan, sejumlah karyawan Indonesia yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu termasuk yang dikreditkan sebagai pengarah bersama memilih untuk tidak dikenali atas alasan-alasan keselamatan.

Untuk mendapatkan orang seperti Anwar untuk bercerita, dokumentari itu menjemput mereka yang terlibat dalam pembantaian itu untuk melakonkan semula masa silam mereka dengan menghasilkan sebuah filem termasuk lagu dan jenaka yang slapstik.

Mereka yang terlibat tidak sedar filem itu mungkin akan memburuk nama mereka sendiri. Ia menjadikan menonton filem ini satu pengalaman yang mengganggu.

"Saya tidak pasti apakah selamat untuk mendekati mereka tetapi apabila mereka bercerita, saya dapati mereka berbangga-bangga," kata Oppenheimer.

Jeneral Suharto menuding Parti Komunis Indonesia terlibat dalam cubaan rampasan kuasa. Tuduhan itu didukung oleh tentera yang menggalakkan pembunuhan mereka yang dituduh terlibat dengan komunis -- dan dalam beberapa kejadian, tentera ikut terlibat.

Suharto menggagalkan rampasan kuasa itu dan menggunakan episod berkenaan untuk menyingkirkan Suharto. Dia seterusnya mengambil alih kuasa dan memerintah Indonesia selama tiga dekad.

Kumpulan sukarelawan seperti yang dianggotai oleh Anwar diberi lesen untuk menghimpun dan membunuh mereka yang disyaki jadi komunis serta merampas harta milik mereka. Tidak pernah ada tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

"Saya kemudiannya sedar bahawa mereka ini bermegah-megah bukan kerana mereka bangga tetapi kerana tahu itu kerja salah," kata Oppenheimer.

"Mereka cuba menafikan diri sendiri dan memaksa penafian itu ke atas masyarakat."

Filem itu diterbitkan oleh pemenang Oscar, Errol Morris yang mengerjakan The Fog of War dan pembikin dokumentari yang dihormati, Werner Herzog. Ia sehingga ini sudah mendapat 32 anugerah antarabangsa.

Filem ini bagaimana pun tidak dibenarkan ditayang di pawagam di Indonesia kerana keraguan pemerintah terhadap cara ia menggambarkan sejarah. Selain tayangan khas, filem ini boleh diakses di Internet untuk muat turun.

Episod pembunuhan komunis itu tidak ada dalam buku sejarah di sekolah dan tidak dibincangkan secara meluas semasa era Suharto.

Bagaimanapun selepas kejatuhannya pada 1998 dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia mula membincangkan isu ini dengan lebih terbuka di media massa, seminar akademik dan memoir.

Pengkritik mendesak tentang perlunya tindakan yang lebih daripada itu dengan merujuk kepada keengganan pejabat Peguam Negara membuka siasatan biarpun ada laporan daripada badan hak asasi manusia pada 2012 yang menunjukkan bukti-bukti luas tentang pelanggaran hak.

Jurucakap presiden Teuku Faizasyah berkata filem ini "meremehkan episod sejarah yang gelap dan rumit," dan memihak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu kepada akhbar Jakarta Globe, pengarah bersama filem ini yang enggan dikenali menafikan filem ini diterbitkan oleh orang asing untuk memburukkan reputasi Indonesia di mata dunia.

"Imej buruk ialah apabila ketidakadilan dan kekejaman dipertahankan. Imej buruk ialah apabila tidak akan kata maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa jenayah kemanusiaan. Imej buruk ialah apabila arkitek pembunuhan beramai-ramai ini diangkat sebagai wira," kata kenyataan itu.

Oppenheimer, yang kini sedang mengerjakan sebuah dokumentari sisi lain episod itu daripada perspektif mangsa yakin Jagal telah membantu media arus perdana menangani sejarah itu dan membongkarnya untuk dibahaskan secara terbuka.

"Tidak ada ruang untuk menutup sejarah," katanya. "Ia membuka ruang untuk (rakyat Indonesia) akhirnya mengakui aspek kontemporari Indonesia yang sangat pedih dan mengganggu ini tanpa rasa gentar." -- AFP

Diserang ular kapak ketika tangkap udang galah

Diserang ular kapak ketika tangkap udang galah
Ular kapak yang mematuk Swee Min.


PARIT BUNTAR - Kegembiraan seorang peniaga menangkap udang galah di Taman Pinggiran Sungai Kerian, di sini bertukar tragedi apabila dipatuk ular kapak.

Mangsa, Teoh Swee Min,32, berkata, dia cedera di jari telunjuk akibat dipatuk ular itu ketika mengutip udang galah yang terjatuh ke dalam semak di pinggiran sungai, Selasa lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, dia bersama sekumpulan rakan memancing udang galah di lokasi kejadian.

“Ketika membawa naik hasil pancing ke darat, udang berkenaan terlepas dari pegangan lalu tercampak ke dalam semak.

“Saya memasukkan tangan ke dalam kawasan semak untuk mencari udang galah sebelum terasa tangan saya dipatuk sesuatu,” katanya.

Swee Min berkata, dia segera menjerit meminta tolong rakan dan apabila seorang rakannya menggunakan lampu suluh untuk meneliti semak berkenaan, mereka terkejut mendapati seekor ular kapak melingkar di dalamnya.

Jelasnya, selepas rakannya membunuh ular itu, dia ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Pelajar kolej cedera ditikam kerana bising

Khairi Ahrasa
Khairi Ahrasa


KUALA LUMPUR - Seorang penuntut sebuah kolej swasta nyaris maut apabila ditikam seorang lelaki yang berang dengan sikap remaja itu serta rakan-rakannya yang dikatakan bising ketika berada dalam sebuah kedai makanan segera di Jalan Genting Klang, di sini, petang kelmarin.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 21 tahun serta beberapa orang rakannya sedang menunggu giliran untuk membeli makanan.

Katanya, mangsa dan rakan-rakannya berbual serta bergurau dalam nada yang kuat menyebabkan seorang lelaki yang turut berada di kaunter premis menegur mereka.

"Lelaki terbabit mendakwa mangsa dan rakan-rakannya bising sehingga mengganggunya untuk membuat pesanan makanan.

"Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka," katanya, semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati dengan mangsa dan rakan-rakannya bertindak menunggu kumpulan remaja terbabit di luar premis makanan itu.

"Apabila mangsa dan rakan-rakannya keluar, lelaki itu terus menyerang dan menikam belakang badan mangsa dengan pisau," katanya.

Khairi berkata, lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri, manakala mangsa yang cedera dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) premis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, setakat ini, belum ada tangkapan dan usaha mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Khairi berkata, punca kejadian hanya melibatkan perselisihan faham dan tiada kaitan isu perkauman.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Astro Awani 

Gunung Kelud meletus, dua maut

Gunung Kelud meletus, dua maut
Kebanyakan kawasan di sekitar gunung berapi Kelud diselubungi debu tebal.


BBLITAR - INDONESIA. Sekurang-kurangnya dua maut manakala ratusan ribu lagi diarah berpindah selepas gunung berapi Kelud di Jawa Timur meletus, menurut pihak berkuasa, semalam.

Kelud yang dianggap sebagai salah sebuah gunung berapi paling berbahaya di Pulau Jawa memuntahkan debu panas ke udara, lewat malam kelmarin.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho memaklumkan hujan debu masih melanda kawasan dalam lingkungan 15 kilometer dari gunung berapi tersebut.

"Kira-kira 200,000 penduduk diarah berpindah ke pusat perlindungan tetapi hanya sebahagian daripada mereka akur dengan arahan terbabit," katanya kepada AFP.

Sementara itu, debu tebal yang menyelubungi Surabaya, Yogjakarta dan Solo turut memaksa tiga lapangan terbang antarabangsa ditutup sementara.

Pengarah Umum Kementerian Pengangkutan Udara, Herry Bakti berkata, kesemua penerbangan telah dibatalkan dan sebahagian laluan terpaksa dialihkan atas faktor keselamatan.

Sinar Harian 

Keputusan Liga Malaysia hari ini


Berikut ialah keputusan perlawanan Liga alaysia di beberapa venue hari ini:

LIGA SUPER:

Selangor PKNS FC 0 Sime Darby FC 0


LIGA PERDANA:

SPA Putrajaya FC 0 Felda United FC 4

Kedah 0 Negeri Sembilan 1

Polis 7 Perlis 1

UiTM FC 0 Sabah 1

Johor Darul Ta'zim II 1 PBAPP FC 0

Pulau Pinang 2 DRB-Hicom FC 1

Zaid Ibrahim mahu bertanding di Kajang


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengesahkan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

Mohd Zaid dalam entri terbaru blognya berkata pertandingan tersebut memberikannya peluang untuk mengulas pelbagai isu politik dan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara.

"Menulis di blog (www.zaid.my) sangat menyeronokan tetapi adalah lebih baik jika dapat bertemu dengan rakyat secara berdepan, mendengat apa yang ingin mereka sampaikan dan juga menikmati sate bersama mereka.

"Berbual bersama pengundi di Kajang akan menguji penerimaan mereka terhadap idea-idea saya, yang akhirnya akan memberikan maklumbalas terbaik kepada pembuat polisi," jelasnya dalam entry blog tersebut yang disiarkan hari ini.

Katanya lagi, dia telah menggariskan beberapa isu penting yang akan dibawanya sewaktu berkempen antaranya polarisasi kaum, mengekalkan keamanan dan solidariti antara Muslim dan bukan Muslim.

Bernama