Thursday, 24 October 2013

Munich medan terbaik Joseline hadapi Sukan Sea

KUALA LUMPUR - Penembak wanita elit kebangsaan Joseline Cheah akan menjadikan pusingan akhir Kejohanan Menembak Piala Dunia (Raifal/Pistol) di Munich, Jerman, bulan depan sebagai medan terbaik sebelum menghadapi Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Penembak sandaran emas negara pada Sukan SEA dari 11 hingga 22 Dis ini berkata beliau tidak meletakkan sasaran khusus pada kejohanan dunia itu dari 6 hingga 12 November ini.

Sebaliknya, beliau berharap dapat mencatatkan keputusan positif di Jerman sebelum menghadapi Sukan SEA keempat bagi dirinya selepas edisi 2005 di Filipina, 2009 (Laos) dan 2011 di Indonesia.

"Saya tidak mempunyai sebarang tekanan untuk meraih pingat emas dan yakin rakan sepasukan terutama Bibiana Ng mampu memberi persembahan cemerlang pada Sukan SEA nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Joseline, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menghadiri majlis pelancaran Kejohanan Menembak Air Gun Piala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Beliau layak ke Piala Dunia selepas muncul lapan penembak terbaik yang menduduki ranking tertinggi dalam acara pistol selepas berakhirnya empat siri kejohanan dunia itu.

Joseline sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Menembak Siri Dunia, juga di Munich, Mei lepas menerusi acara 10m Air Pistol.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment