Thursday, 24 October 2013

Lelaki tikam 4 mangsa dalam 40 minit

Berita ngeri ini juga disiarkan dalam Buletin Utama TV3 malam ini, 24 Oktober 2013.

Lelaki tikam 4 mangsa dalam 40 minit
Anggota polis mengangkat mayat pelajar lelaki yang terbunuh setelah ditikam sebanyak tiga kali oleh suspek di Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju.


KUALA LUMPUR - Dalam tempoh 40 minit, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental, bertindak menikam empat mangsa di tiga lokasi berasingan sekitar Taman Melati, Gombak, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu menyebabkan dua mangsa termasuk seorang pelajar kolej swasta, meninggal dunia di tempat kejadian sementara dua lagi termasuk seorang warga emas cedera parah dan kini dalam keadaan kritikal.

Ia bermula apabila suspek, bekerja sebagai pemandu van sebuah syarikat rokok, membuat penghantaran ke sebuah kedai di Stesen LRT Gombak.

Sebaik menghantar rokok, suspek dengan tidak semena-mena mengeluarkan pisau rambo dan menikam pemilik kedai, wanita berusia 60-an dan pembantu kedai, wanita warga Indonesia, berumur 40-an.

Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki van menuju ke arah Stesen LRT Melati dan kemudiannya bertindak melanggar sebuah van penghantar barang (air mineral) dipandu seorang lelaki berumur 48 tahun di Jalan Persiaran Pertahanan, terletak kira-kira tiga kilometer dari stesen lokasi kejadian pertama.

Ketika mangsa turun dari van untuk melihat keadaan, suspek yang bagaikan dirasuk, bertindak menikam mangsa sebanyak tiga tusukan menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sejurus selepas itu, suspek memandu semula van ke arah Wangsa Maju dan melakukan modus operandi sama apabila bertindak melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hybrid dipandu remaja berusia 25 tahun.

Dalam kejadian di Jalan Tumbuhan itu, mangsa yang merupakan pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, cuba melarikan diri, namun dikejar suspek sebelum ditikam sehingga meninggal dunia.

Saksi kejadian, seorang peniaga dikenali sebagai Farid, 30, berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu bertindak membelasah suspek namun suspek hanya melaungkan takbir sambil mengucap berulang-ulang kali.

"Ketika itu dia dalam keadaan bergari dan berlumuran darah setelah dibelasah orang ramai,"katanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian hanya berakhir kira-kira jam 12 tengah hari setelah suspek berjaya ditahan oleh anggota polis peronda Dang Wangi.

Katanya, terdapat tiga kesan tikaman di bahagian badan dan tangan pada mangsa terakhir sementara suspek cedera di bahagian kepala.

"Kita dapati suspek yang berasal dari Segamat Johor ini, berada dalam keadaan tidak normal dan mengalami masalah 'kejiwaan' berkemungkinan berkaitan dengan ajaran yang dituntut.

"Siasatan awal mendapati, suspek bebas daripada rekod jenayah, bagaimanapun ujian akan dilakukan sekiranya suspek berada di bawah pengaruh dadah.

"Kita juga akan libatkan jabatan agama, dan kaunseling bagi menentukan tahap kesedaran suspek ketika kejadian, sama ada normal atau tidak,"katanya.

Beliau menambah, motif kejadian masih dalam siasatan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

"Kejadian ini tiada kena mengena dengan isu perkauman, tetapi lebih kepada masalah individu yang mengalami masalah jiwa dan bertindak di uar kawalan,"katanya.

Mangsa yang cedera dan suspek dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan 302 Kanun Keseksaan.


Sumber

No comments:

Post a Comment