Thursday, 24 October 2013

15,000 penyokong serbu Stadium Negeri sejak 5 pagi

15,000 penyokong serbu Stadium Negeri sejak 5 pagi
Peminat bola sepak Sarawak berasak untuk mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Sarawak menentang Pahang, di Stadium Negeri di Kuching, hari ini. - Foto Bernama


KUCHING - Demam bola sepak Piala Malaysia terus melanda Sarawak apabila lebih 15,000 penyokong menyerbu Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini untuk membeli tiket perlawanan separuh akhir kedua antara skuad Bujang Senang menentang Pahang, Sabtu ini.

Tinjauan Bernama mendapati suasana sekitar Stadium Negeri yang kebiasaannya hanya meriah pada hari-hari perlawanan, berubah umpama pesta, ada penyokong yang sudah beratur seawal 5 pagi, walaupun tiga kaunter jualan tiket hanya dibuka pada pukul 10 pagi.

Sebanyak 10,000 tiket yang diperuntukkan untuk dijual hari ini habis dalam tempoh sejam kaunter jualan dibuka, manakala baki tiket akan dijual esok bermula pukul 10 pagi.

Bagi memastikan kelancaran jualan kali ini, serta memberi peluang sama rata kepada semua penyokong, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menetapkan setiap pembeli perlu menunjukkan kad pengenalan di samping hanya membenarkan setiap penyokong membeli sehingga lima tiket sahaja.

Bagaimanapun peraturan FAS itu mengakibatkan sesetengah penyokong marah kerana tidak diberitahu lebih awal, serta peraturan menyebabkan urusan pembelian mengambil masa lebih lama kerana petugas kaunter perlu menulis nombor kad pengenalan di buku tiket.

Bagi Hashim Razali dari Kampung Boyan, dekat sini, berkata dia datang ke stadium seawal 5 pagi selepas menghantar anak saudara ke sekolah namun gagal mendapatkan tiket walaupun beratur awal kerana ada penyokong memotong barisan, selain faktor laluan ke kaunter tidak teratur dan tersusun.

Nasib yang seakan sama turut menimpa Augustus Nanang, dari Serian, 65km dari sini, yang tiba di bandar raya ini semalam dan menumpang tidor di rumah saudara.

"Seawal 5.30 pagi saya dah beratur di sini, tetapi tak tahan sangat diasak pembeli lain, ada yang terlalu agresif, memotong barisan, jadi tak tahan jadi saya mengalah," katanya.

Penyokong fanatik skuad Bujang Senang, yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada juara Liga Perdana 2013 itu sering disifatkan sebagai pemain ke-12 pasukan dan sorakan 25,000 penonton dalam perlawanan Sabtu ini mampu memberi suntikan semangat kepada barisan pemain Bujang Senang.

Dalam pertemuan pertama di Stadium Darul Makmur, Sarawak tewas 1-3 kepada Pahang namun masih mampu layak ke perlawanan akhir jika berjaya mengurangkan defisit jaringan skuad Tok Gajah itu.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment