Thursday, 24 October 2013

'Kami tak mahu pindah!'

  • 'Kami tak mahu pindah!'
  • 'Kami tak mahu pindah!'


  • 'Kami tak mahu pindah!'
  • DBKL melaksanakan operasi perobohan.


KUALA LUMPUR - Operasi perobohan rumah di Kampung Chubadak Tambahan kecoh apabila terdapat penghuni yang enggan keluar dari kediaman mereka bagi memberi laluan kepada penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan tugas mereka.

Difahamkan operasi perobohan sepatutnya dijalankan pada 17 September lalu setelah notis pengosongan tapak diberikan kepada penghuni.

Bagaimanapun, mereka (penghuni) mendakwa mempunyai surat perintah mahkamah membenarkan mereka tinggal sementara di situ.

Dalam operasi yang diadakan semalam, salah seorang penduduk dilihat menutup pintu sebagai protes tindakan perobohan tersebut, sebelum anggota penguatkuasa DBKL menendangnya.

Keadaan itu membuatkan penghuni berkenaan berang lalu berlaku pergelutan di antaranya dengan penguatkuasa berkenaan, termasuk salah seorang penghuni warga emas yang menghalang tindakan diteruskan.

Bagaimanapun situasi itu terkawal dengan kehadiran pihak polis dan penghuni diberi masa sejam untuk mengosongkan rumah mereka.


Tidak pernah ada hitam putih

Penduduk yang rumahnya dirobohkan, Mahwiah Daud, 55, berkata, dia kecewa dengan tindakan berkenaan kerana dia sekeluarga bersama beberapa penduduk lain dalam proses mendapatkan keputusan mahkamah setelah dalam usaha mendapatkan hak pampasan yang sewajarnya.

Menurutnya, tindakan pihak pemaju yang tidak turun bersemuka berbincang termasuk tiada surat hitam putih dalam urusan pemberian pampasan membuatkan mereka enggan berpindah.

“Asalnya dijanjikan pampasan RM50,000, namun tiada hitam putih. Begitu juga dengan wang perpindahan RM7,000, tiada hitam putih. Kami ditawarkan satu unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun ia tidak mencukupi untuk kami.

“Pihak pemaju pernah berjanji mulut jika kami tidak mahu pindah ke PPR, mereka bersedia menanggung kos bayaran sewa RM400 sebulan untuk mana-mana kediaman yang mahu dihuni.

Namun itu juga tiada hitam putih,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahwiah yang tinggal bersama suami, Abdul Hamid Saad, 60, serta anak dan cucunya mendakwa, turut mengalami kerugian disebabkan terdapat barangan dalam rumah yang tidak dikeluarkan pihak berkuasa.

“Mereka datang tanpa berunding. Mereka keluarkan barang namun ada yang masih tertinggal, kami kerugian lebih RM20,000,” katanya.


Penduduk enggan kerjasama
Sementara itu, Pengerusi Penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Ramli Ahmad, 44, berkata, isu pemindahan kira-kira 700 keluarga di situ bermula sejak beberapa tahun lalu, di mana kawasan kampung dikosongkan secara berperingkat.

Menurutnya, terdapat maklumat berhubung jumlah pampasan yang diberi, namun tidak sama rata membuatkan ada penduduk yang enggan memberi kerjasama ditambah pula tiada surat hitam putih dikeluarkan.

Setiausaha Badan Bertindak Surau Ikhlasiah, Zaini Abdullah, 41, pula mendakwa, sebelum ini tanah berkenaan adalah milik pemaju namun diserahkan semula kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bagi memudahkan urusan pengosongan tapak.

“Pemaju sebelum ini telah ambil tindakan mahkamah, tetapi mereka gagal mendapatkan tanah ini apabila keputusan mahkamah berpihak kepada penduduk. Kini geran diserah kepada agensi kerajaan.

“Saya tak setuju tindakan ini dan telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong bulan lalu,” katanya.


Diminta kosong untuk bina PPR
Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan pengosongan beberapa bidang tanah di situ adalah untuk memberi laluan kepada PPR di mana penduduk akan dipindahkan semula di kediaman yang baru dibangunkan.

Projek Kerajaan Persekutuan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu adalah cadangan pembangunan satu blok Pangsapuri Kos Rendah 26 tingkat (500 unit) serta satu blok 5 tingkat tempat letak kereta.

Ia diluluskan pada 7 Mac 2012 dan sepatutnya kerja-kerja pembinaannya bermula pada 1 November 2012 dan siap pada 31 Oktober 2014.

Sumber

No comments:

Post a Comment