Sebahagian kereta mewah yang dirampas di Kompleks JKDM Kelana Jaya
Penglibatan sindiket dipercayai menjadi dalang bagi membantu pemilik kenderaan mewah mengelak dari membayar cukai dan duti Kastam terbongkar selepas 22 kereta terbabit berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sekitar Perak dan Kuala Lumpur dalam beberapa siri serbuan bermula 16 hingga 20 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata, kenderaan mewah itu disita selepas pemeriksaan mendapati ianya berada di Kawasan Utama Khas (KUK) dalam tempoh yang lama melibatkan jumlah cukai bernilai RM17 juta.
Menurutnya, siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan di pelabuhan bebas cukai di Pulau Langkawi dan Labuan sebelum dibawa keluar dari kawasan itu melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Taktik mereka ialah mendaftarkan semula kereta untuk memperolehi nombor pendaftaran baru bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media, hari ini.
Katanya lagi, antara jenis kereta yang dirampas termasuklah Ferrari, Rolls Royce, Bentley, Lamborghini yang menggunakan nombor pendaftaran KV (Langkawi), LE (Labuan) dan G1M (Gagasan 1Malaysia) yang kesemuanya bernilai RM8.7 juta.
“Modus operandi wakil penjual kereta ini kebanyakannya tidak memasukan elemen duti atau cukai dengan cara mendaftarkan kereta di pulau bebas cukai selain mendaftar dengan menggunakan alamat palsu pembeli,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar pemilik memastikan cukai kenderaan dibayar bagi mengelak nama senarai hitam dan berhadapan dengan tindakan mahkamah.
Dalam pada itu sepanjang tahun 2012, Kastam menahan 249 kenderaan di atas kesalahan melanggar syarat di bawah Butiran 21A Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 1988 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus Kastam.
Sumber
No comments:
Post a Comment