Thursday, 24 October 2013

Keluarga enggan maafkan suspek

Keluarga enggan maafkan suspek
Adik bongsu Yuk Tim, Ng Ee Sin, 10 melakukan upacara sembah roh di perkarangan Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam


PETALING JAYA - "Saya takkan maafkan perbuatan dia sampai bila-bila," kata Sim Yee Lian, 31, ibu saudara kepada Ng Yuk Tim, 15, yang dibunuh kejam, sebelum mayatnya disumbat dalam beg dan dibuang dalam longkang besar di Bukit Kemuning, Shah Alam, petang kelmarin.

Yee Lian ketika ditemui semalam berkata, perbuatan suspek lelaki berusia 23 tahun itu sangat tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima akal.

Menurutnya yang baru tiba dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dia dan keluarga masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak saudara kesayangannya itu sudah tiada."Saya tak sangka suspek sanggup buat begitu pada Yuk Tim, sekaligus merampas kebahagiaan kami sekeluarga.

"Jika dia tidak bahagia atau tidak ada rasa belas kasihan sekalipun, dia tidak boleh diperlakukan (cuba rogol dan bunuh) sesuka hatinya," katanya sebak.

Dalam perkembangan sama, Datuk mangsa, William Sim, 70, turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan keluarga suspek yang beria-ia mempertahankan anak mereka dan mengatakannya sebagai orang baik.

Beliau berkata, jika benar suspek baik, kenapa lelaki itu cuba memperkosa, sebelum membunuh cucu kesayangannya?

"Dia (suspek) umpama syaitan kerana sanggup bunuh Yuk Tim.

"Malah dia juga sanggup berpura-pura dengan menulis di laman Facebook Yuk Tim, kononnya bimbang dan ingin tahu di mana cucu saya berada," katanya ketika ditemui di perkarangan Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Mengulas berhubung karakter mangsa, William berkata, cucunya merupakan seorang yang bijak serta penyayang.

Katanya, walaupun ibu bapa Yuk Tim bercerai kira-kira empat tahun lalu, cucunya itu tidak pernah merungut malah sangat berdikari.

Menurutnya, mangsa sanggup mencari kerja sambilan selepas tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, semata-mata untuk membantu keluarga terutama ibunya, Sim Yee Ling, 35, yang bekerja di sebuah kedai emas di Cheras.

"Sejak kedua ibu dan bapanya bercerai, Yuk Tim, ibu dan adiknya memang tinggal bersama saya dan isteri di Bandar Tun Razak, Cheras.

"Apa yang saya perhatikan, Yuk Tim sangat berbakat dalam melukis sertai menyukai komik," katanya.

Katanya, lebih menyedihkan, cucunya mati selepas bertemu suspek untuk membincangkan perancangan membuat kostum.

Selain itu, nenek mangsa, Yap Pik Wan, 59, turut kecewa dengan sikap suspek yang mengambil mudah terhadap perbuatan dilakukannya.

- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment