Walaupun cuba mengambil langkah selamat dengan tidak memberi sebarang komen yang boleh mengeruhkan keadaan, namun Anzalna merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi kakanya daripada mendapat persepsi buruk masyarakat.

"Pada mulanya saya tidak mahu campur tangan dalam hubungan mereka. Namun, setelah membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Shah dan mendengar penjelasan kakak, saya perlu tampil kerana perkara ini boleh menjatuhkan maruah kakak sebagai seorang wanita.

"Saya ada membaca sebahagian mesej antara Shah dan Diana dan apa yang boleh saya katakan perbualan mereka tidak seperti kawan biasa. Malah segala bukti telah saya 'printscreen' agar tidak berlaku sebarang hal berbangkit di kemudian hari. 

"Jadi, apabila Shah sendiri menafikan hal ini, saya berasa kasihan dengan kakak yang seperti terhegeh-hegeh dalam hubungan ini," ujar Anzalna yang ditemui di majlis pelancaran program bual bicara Diva De Vida di Finas, semalam. 

Dalam pada itu, Anzalna juga sempat memberi nasihat kepada wanita yang mengalami masalah sama;

"Kepada semua wanita, janganlah beri peluang kepada lelaki untuk menjatuhkan maruah anda dan berhati-hatilah jika ingin berkawan dengan artis kerana akhirnya anda pasti kecewa," ujar Anzalna yang merujuk kepada sesetengah artis yang tidak jujur dalam menjalinkan hubungan.