Wednesday, 3 June 2015

Zaiton Mohd Jiwa: Kita ikut trend semasa

Izzara Aishah, Aaron Aziz



Kau Yang Satu

SEJAK kebelakangan ini, adaptasi novel ke lakon layar bukan lagi perkara baharu dalam industri, malah beberapa syarikat produksi tempatan sudah mula mengikut rentak industri dalam menghasilkan karya sebegini.

Tidak dinafikan, kejayaan karya adaptasi mampu menandingi karya-karya biasa malah ada di antaranya mampu mencapai kutipan tertinggi di sepanjang tayangan.

Selain beberapa produksi lain, Global Station Sdn Bhd, adalah salah satu syarikat penerbitan yang aktif dalam mengeluarkan karya-karya adaptasi, tidak kira di skrin televisyen mahupun ke layar perak.

Malah, empat tahun lalu, syarikat milik penerbit terkenal, Datin Zaiton Moh Jiwa, ini telah memilih tujuh novel popular terbitan Alaf 21 untuk diadaptasi.

Antaranya termasuk Jauh, Manisnya Cinta, Kau Yang Satu, Tiada Yang Kedua, Kau Untukku, Bayangan Rindu serta Adam dan Hawa.

Menurut Zaiton atau lebih mesra disapa Kak Ton ini, ada di antara novel yang dipilih itu telah pun ditayangkan dan ada di antaranya bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Bukan hanya sebagai hidangan di kaca televisyen, malah beberapa karya turut diangkat ke layar perak termasuklah novel nukilan novelis popular, Nia Azalea, Kau Yang Satu.

"Insya-ALLAH, filem adaptasi, Kau Yang Satu bakal menemui penonton tidak lama lagi. Kemungkinan besar, ianya akan ditayangkan pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Kini, proses penggambaran telah selesai cuma ada sedikit sentuhan lagi di peringkat suntingan dan proses-proses lain untuk mencantikkan lagi kesan sinematografi," kata penerbit ini.

Ditanya mengenai pemilihan novel itu sebagai naskhah filem, Kak Ton memberitahu bahawa tarikan jalan cerita serta pengajaran di dalamnya mampu menjadikan filem ini sebagai filem yang terbaik dengan kerjasama produksi serta pihak-pihak yang terlibat.

"Walaupun perjalanan cerita agak 'klise', namun saya percaya novel ini ada pengikut yang tersendiri iaitu di kalangan pembacanya. Malah, saya yakin, ramai di kalangan pembaca yang teringin untuk menontonnya secara visual di skrin yang lebih besar.

"Di Global Station, kami sememangnya lebih selektif dalam pemilihan naskhah. Tambahan pula, saya adalah orang yang sukakan jalan cerita bergenre cinta dan romantik. Lagipun, saya tak pandai nak buat filem seram mahupun aksi.

"Pemilihan novel untuk diadaptasi juga bukanlah kerana kita sudah ketandusan idea untuk melahirkan karya biasa. Namun, ia lebih kepada trend semasa. Sebagai pengkarya, saya cuma mahu menduga selera penonton di setiap sudut," katanya yang mengharapkan sambutan yang hangat di kalangan penggemar novel dan penonton di pawagam.

Pertama kali bersama Osman Ali

Sebelum ini, menerusi beberapa karya adaptasi lain, Global Station memilih beberapa pengarah terkenal termasuklah, Bernard Chauly untuk Manisnya Cinta Di Cappadoccia dan Feroz Kader (Suamiku Encik Perfect 10).

Menerusi Kau Yang Satu, Kak Ton berkata, dia memilih pengarah filem adaptasi terkenal, Osman Ali kerana yakin dengan kemampuan yang ada pada pengarah hebat itu.

"Pertama kali meneliti jalan cerita novel ini, saya sudah nampak, Osman Ali adalah pengarah yang paling layak untuk mengembangkan jalan cerita ini dengan baik sekali.

"Lihat sahajalah filem arahannya, Ombak Rindu. Namun, saya mengukur filem itu bukan hanya atas dasar kutipan, namun atas penceritaan dan cara Osman membawanya.

"Pada saya, Osman mempunyai jiwa yang 'lembut' dan boleh membuai penonton dalam karyanya. Dia pandai permain dengan emosi penonton," katanya lagi.

Tambah Kak Ton, memandangkan filem ini masih belum siap sepenuhnya, dia hanya melihat sebahagian sahaja daripada perjalanan filem itu.

"Alhamdulillah, apa yang saya tengok, ianya memenuhi kehendak saya dan saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja Osman walaupun hanya melihat sebahagian sahaja.

"Malah, saya mengharapkan yang terbaik untuk filem ini seperti mana filem-filem terbitan yang terdahulu," jelasnya.

Aaron, Izara gandingan serasi

Filem yang mengisahkan mengenai Salina dan Taufik yang terpaksa bersetuju dengan keputusan orang tua mereka untuk dijodohkan bersama, Kak Ton memilih gandingan serasi, Aaron Aziz dan Izara Aishah sebagai teraju utama.

Memandangkan kedua-duanya belum pernah digandingkan bersama, Kak Ton menjelaskan pemilihan pelakon bukanlah atas pandangan mata semata-mata kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.

"Tidak perlu meragui kehebatan Aaron di layar perak kerana sebelum ini dia sudah membuktikan kehebatannya dalam beberapa naskhah lain.

"Saya memilih Aaron namun ianya melalui perbincangan bersama beberapa pihak lain yang turut terlibat seperti wakil produksi dan pengarah sendiri.

"Walaupun pada hakikatnya Aaron sedikit berusia, namun di skrin, gerak badan dan emosinya tidak melambangkan usia sebenar pelakon ini. Dia bijak bermain dengan 'body language' dan ada karakter yang tersendiri walaupun ini adalah kali pertama gandingannya bersama Izara," jelas Kak Ton.

Mengenai pemilihan Izara pula, Kak Ton menafikan Izara bukanlah dipilih kerana hubungan di luar set, malah baginya Izara ada sesuatu yang istimewa dalam bakatnya.

"Dalam filem, Pilot Cafe, saya lihat Izara berlakon dengan baik sekali. Malah, sebelum ini juga dia turut mempamerkan kebolehannya dalam bidang lakonan.

"Bagi saya, mereka adalah gandingan yang serasi dan ramai yang teruja untuk melihat mereka bersama di skrin nanti," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment