RIZ Amin kini bergelar bapa selepas isterinya melahirkan anak sulung perempuan.
KUALA LUMPUR: Pelakon tinggi lampai yang kini aktif dalam dunia perniagaan, Riz Amin bergelar bapa kepada bayi perempuan yang selamat dilahirkan malam tadi.
Anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan Sharifah Fazlina Syed Fuad sejak November 2013 itu dilahirkan jam 9.38 malam seberat 2.25 kilogram di Hospital Umra, Shah Alam.
Bayi itu dilahirkan secara pembedahan dan ia menjadi hadiah bermakna buat pelakon bernama penuh Norizam Amin Nordin kerana akan menyambut hari lahir yang ke-30 pada 6 Jun ini.
Riz dan isteri sepakat menamakan anak mereka dengan nama Putri Natalia Eryna.
"Saya sendiri cemas menunggu kelahiran anak kami. Saya diberitahu isteri di wad pembedahan berdepan dengan beberapa perkara yang biasa terjadi.
"Tapi syukur semuanya sudah selamat. Isteri dan anak saya dalam keadaan okey. Saya dan isteri berdoa supaya anak sulung kami ini akan menjadi anak yang solehah, Insya-Allah. Semoga rezeki kami akan terus bertambah dengan kehadiran Puteri Natalia Eryna," katanya.
Antara drama lakonan Riz Amin seperti Astana Idaman 3, Manjalara, Emil Emilda, Cindarella, Spa Q, Si Capik, Sutun Kembali Lagi, Hidayah Cintaku serta pernah menjadi pelakon tambahan dalam filem Sepi dan filem Hindustan, Don 1.
Selain berlakon drama, Riz juga pernah membintangi filem Tanda Putera, 29 Februari, Hantu Kapcai dan sedang menanti tayangan filem Tujuh.
- Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment