Wednesday, 3 June 2015

‘Sahabat Dalam Tubuh’, taruhan Mawi


Mawi

BIARPUN namanya kini tidaklah sepopular zaman kegemilangannya sepuluh tahun lalu, namun Mawi masih memiliki peminat tegarnya sehingga hari ini.

Jarang muncul di kaca televisyen tidak bermakna anak jati Kulai, Johor ini sudah meninggalkan karier seni bahkan sebenarnya dia kini giat menguruskan syarikat produksi miliknya.

Pada masa yang sama, Mawi akui dia juga bakal tampil dengan buah tangan terbaharunya ‘Sahabat Dalam Tubuh’ sempena Ramadan akan datang.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih lagi menjalani karier seni seperti biasa. 

“Walaupun sibuk dengan bidang lain, tapi saya tidak pernah terfikir untuk berhenti menyanyi kerana itulah minat saya dan nyanyian juga permulaan buat saya untuk berada di tahap ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai buah tangan terbaharunya, Mawi akui dia agak berhati-hati untuk mengeluarkan lagu bagi memastikan ia menjadi yang terbaik.

“Selepas An Nura...Yang 5...Yang 6, saya kini sedang sibuk dalam proses pembikinan single seterusnya bersama Daly Filsuf.

“Seperti dua tahun lalu, kolaborasi saya bersama Datul Ac Mizal menerusi lagu Al Haq adalah satu permulaan di mana kami cuba menampilkan muzik yang lebih segar begitu juga dengan An Nura...Yang 5...Yang 6.

“Jadi untuk lagu kali ini, saya menggabungkan beberapa elemen muzik menjadikan lagu ini lebih menarik dan berlainan,” ujarnya.

Melancong bersama peminat

Dalam pada itu, sebagai penghargaan buat peminat setianya, Mawi mengajak peminat bercuti bersamanya ke Sepanyol pada 2 sehingga 12 Oktober nanti.

“Saya juga diberitahu oleh pihak penganjur iaitu Safirgotravel, sudah ada beberapa peminat yang mendaftar dan mahu mengikuti percutian ini.

“Saya amat berbesar hati dengan sokongan mereka dan harapkan peminat yang lain turut mengambil kesempatan yang ada untuk sertai percutian ini.

“Saya gunakan peluang ini untuk lebih mesra dan kenal rapat lagi dengan peminat yang selama ini menyokong karier saya,” katanya.

Tambahnya, percutian yang diberi nama Kembara Menyelusuri Kegemilangan Sejarah Islam Andalusia di Sepanyol itu akan mengambil masa selama 10 hari 8 malam.

“Selain melawat tempat-tempat menarik, ada beberapa aktiviti lain yang saya rancang khas untuk peminat yang mengikuti rombongan nanti.

“Saya sendiri pertama kali ke sana. Saya akan bawa bersama anak dan isteri saya,” katanya yang turut merancang untuk menghasilkan dokumentari mengenai bumi Andalusia menerusi terbitan syarikat produksinya sendiri.

Pakej berharga RM8,690 ini, peminat akan dibawa melawat tempat-tempat menarik di lokasi bersejarah kebangkitan Islam di negara itu antara Cardoba, Toledo, Madrid, Sevillee, Granada, Valencia, Murcia dan Barcelona.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment