Wednesday, 3 June 2015

MH370: Kes saman terhadap MAS selesai


KUALA LUMPUR: Kes saman yang difailkan dua anak lelaki penumpang MH370 terhadap Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan empat lagi, selesai, apabila saman itu ditarik balik hari ini.

Peguam Persekutuan Saiful Nizam Shahrin yang mewakili kerajaan memberitahu pemberita bahawa kedua-dua plaintif telah memfailkan notis pemberhentian dan menarik balik keseluruhan saman terhadap defendan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Tambahnya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub telah merekodkan penarikan saman itu tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam bagi pihak plaintif iaitu Datuk Dr S. Arunan dan juga ibu kepada kedua-dua plaintif yang berusia 14 dan 12 tahun iaitu Ng Pearl Ming, 39.

Sementara itu peguam Arunan berkata kes saman berkenaan diselesaikan secara baik dan ibu plaintif telah dimaklumkan mengenai pengumuman pihak kerajaan baru-baru ini serta dapat menerima penjelasan kemalangan tersebut.

"Hal ini akhirnya dimuktamadkan. Anak guam kami selepas memberi pertimbangan terhadap haknya dan kedudukan undang-undangnya telah memutuskan untuk menerima pampasan dan meneruskan kehidupan," katanya.

Pada 31 Okt tahun lepas, dua beradik itu, melalui ibu mereka, memfailkan saman dengan menamakan MAS, ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ketua pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapa mereka Jee Jing Hang, 41, warga tempatan, telah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, 8 Mac.

Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib untuk memastikan penerbangan yang selamat, namun telah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing.

Kedua-dua plaintif antara lain menuntut ganti rugi terhadap kesemua defendan atas kehilangan bapa mereka yang merupakan penanggung tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan RM16,865 dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami dua beradik itu.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada hari kejadian dan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi serta belum ditemui lagi setakat ini.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment