Wednesday, 3 June 2015

Dipenjara 14 hari, denda RM3,000 kerana tunjuk kemaluan

Pada hari kejadian, mangsa terkejut kerana tertuduh menyentuh bahunya apabila dia menoleh ke belakang, tertuduh sedang menunjukkan kemaluannya sambil tersenyum. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Gara-gara menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di tempat awam, seorang buruh dipenjara 14 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Ali Tampil, 22, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menunjukkan kemaluannya kepada Maxine Ng Mei Cheng, 23, seorang pereka grafik, di hadapan Berjaya Times Square, Jalan Imbi, Dang Wangi di sini, pukul 7.40 malam, pada 1 Jun lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang berasal dari Sabah itu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Dia tidak membayar denda tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian Mohd Ali mendekati Ng yang ketika itu berseorangan menunggu sepupunya di perkarangan pusat beli-belah itu dan bertindak menyentuh bahu mangsa tetapi tidak dipedulikannya.

Setelah dia menyentuh bahu mangsa untuk kali kedua, wanita itu toleh ke belakang dan melihat tertuduh senyum sambil menunjukkan kemaluannya.

Mangsa yang terperanjat terus melarikan diri dan orang ramai yang menyedari kejadian itu berjaya menangkap tertuduh.

Ketika rayuan, Mohd Ali memohon hukuman berbentuk denda atas alasan dia mengalami tekanan perasaan di tempat kerja selain menyesal dan memohon mahkamah memberi peluang kedua kepadanya untuk berubah.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan denda dengan mengambil kira tindakan tertuduh telah menyebabkan mangsa mengalami trauma.

Beliau berkata faktor tekanan perasaan yang dihadapi tertuduh bukan alasan untuk dirinya melakukan kesalahan itu.

"Tertuduh juga telah melakukan kesalahan itu di kawasan awam (Berjaya Times Square) dan tindakan tertuduh boleh menjejaskan imej negara di mata pelancong," katanya.

Sebelum menjatuhi hukuman, Saifulakmal menegaskan mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan serius iaitu jenayah seksual.

Kamu (tertuduh) senyum dan kemudian menunjukkan kemaluan kamu. Tak sepatutnya kamu tunjukkan kemaluan. Dah itu nama pun kemaluan", katanya.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment