Wednesday 3 June 2015

Mohd Shafie: Saya tidak berhasrat letak jawatan

Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan khabar angin yang tersebar dengan meluas bahawa beliau berhasrat untuk meletak jawatan daripada Kabinet.

"Kenapa perlu saya meletak jawatan kerana membangkitkan isu demi kepentingan negara?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pendidik Mara 2015 di sini hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau kerap mengemukakan soalan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mendapatkan penjelasan tentang isu itu. 

"Saya perlu jelaskannya kepada orang ramai (tentang 1MDB), tetapi orang ramai membuat kesimpulan bahawa saya berbeza pendapat dan mengkritik saya berhubung isu itu," katanya. 

Media membuat spekulasi bahawa Mohd Shafie adalah antara menteri yang akan meletak jawatan daripada Kabinet apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan memberi kata dua kepada para anggota Kabinet dan meminta mereka yang tidak menyokong beliau dalam isu 1MDB supaya meletak jawatan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment