Thursday 23 April 2015

Tiada 'kubur 1Malaysia'

Video kubur ‘1Malaysia’ yang dimuat naik yang didakwa di Tanjung Agas adalah tidak benar.

LEDANG – Dakwaan wujud sebuah kubur lama berserta tanda salib dijumpai di Tanjung Agas, dekat sini, seperti yang disebarkan di media sosial adalah tidak benar.

Kisah kubur itu menjadi viral di laman sosial apabila seorang lelaki yang menggunakan nama Zulhisham Tokasid memuat naik video berdurasi 122 saat ke Facebook miliknya pada 19 April lalu.

Rakaman tersebut turut memberitahu ia adalah kubur 1Malaysia kerana dalam kawasan itu terdapat tiga jenis kubur iaitu kubur Islam, Cina dan Kristian.

Ketua kampung berkenaan, Ishak Ahmad berkata, pihaknya telah melakukan siasatan apabila menerima kiriman gambar itu pada Isnin lalu dan setakat ini beliau mengesahkan kubur tersebut bukan di Tanjung Agas.

Menurutnya, di Tanjung Agas hanya terdapat dua kawasan perkuburan Islam dan tidak menjumpai kubur itu seperti yang didakwa pemilik Facebook tersebut.

“Sejak video itu tersebar, ramai menghubungi saya dan berjumpa kerana mahukan kepastian tentang maklumat tersebut.

“Berdasarkan pengamatan dalam video ini mendapati kubur itu dipercayai dibina atas tanah persendirian yang tidak diketahui lokasi sebenarnya,” katanya.

Ishak berkata, beliau pertama kali berhadapan kes tersebut sejak hampir enam tahun menjadi ketua kampung di kawasan berkenaan.

Katanya, pihak yang memuat naik video tersebut boleh bekerjasama dengan memberikan maklumat tepat kepada beliau jika benar kubur itu di Ledang bagi memudahkan siasatan.

“Namun saya turut ingin memberikan nasihat kepada orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat di laman sosial.

“Perkara seperti ini dikhuatiri boleh menimbulkan pandangan negatif segelintir masyarakat apabila ia membabitkan isu kubur yang bercampur berlainan agama dalam satu kawasan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment