Thursday 23 April 2015

200 hak milik tanah dirampas

Hannah Yeoh (tengah) dan Mohd Nurunnajmi (kiri) ketika membuat lawatan ke Pejabat Cawangan Hasil Daerah Petaling di Bandar Sunway.

SUBANG JAYA – Lebih 200 hak milik tanah di bawah pentadbiran Pejabat Tanah dan Daerah Petaling dirampas kerajaan negeri sejak dua tahun lalu kerana gagal melunaskan tunggakan cukai tanah.

Penolong Pegawai Daerah Bahagian Hasil, Mohd Nurunnajmi Amat Janji berkata, antara yang dirampas adalah tanah berstatus industri.

Beliau berkata, rampasan di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara itu akan dilakukan selepas melalui beberapa proses.

Menurutnya, pemilik akan diberi surat peringatan, Notis Tuntutan Akhir (Notis 6A) dan akhirnya Notis 8A yang membolehkan kerajaan negeri melalui pegawai daerah merampas tanah dan menjadi hak milik kerajaan.

Katanya, jumlah keseluruhan hutang tertunggak cukai tanah sejak 20 tahun lalu bagi kawasan Petaling sahaja mencecah RM172 juta.

“Setelah dikenal pasti punca pemilik tidak membuat bayaran bukan kerana tidak mempunyai wang, tetapi disebabkan hak milik hartanah yang masih belum ditukar nama dengan pemilik lama.

“Contohnya, tanah pada asalnya nama pemaju tetapi proses pindah milik tidak dibuat, jadi pemilik baru tidak tahu mengenai cukai tanah yang perlu dibayar. Disebabkan itu, kita sering gesa pemaju buat proses pindah milik dengan segera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan pula berkata, pemilik hartanah sepatutnya tidak memberi alasan enggan membuat bayaran kerana tidak menerima bil cukai tanah.

Pemilik katanya, perlu hadir ke pejabat tanah bertanya mengenai bil mereka dan tidak menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya hingga menyebabkan jumlah tunggakan bertambah dari tahun ke tahun.

“Kalau tidak dapat bil, boleh datang buat semakan di pejabat tanah,” katanya ketika meninjau Pejabat Cawangan Hasil Daerah Petaling di Kompleks 3C, PJS 11, Bandar Sunway, di sini.

Menurutnya, pejabat cawangan itu sudah dibuka sejak Oktober lalu, namun ramai yang tidak tahu dan bersusah payah ke Ibu Pejabat Pejabat Tanah Daerah Petaling terletak di Shah Alam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment