Thursday 23 April 2015

Kebebasan beragama penduduk Sarawak bukan mutlak

  • Mahkamah

PUTRAJAYA - Hak kebebasan beragama seorang kerani dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill adalah tidak mutlak, Mahkamah Rayuan diberitahu di sini hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah hak kebebasan wanita itu tertakluk kepada ketenteraman awam, kesihatan awam dan moraliti, menurut kepada Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah Menteri Dalam Negeri telah menjelaskan dalam affidavit bahawa rampasan lapan cakera padat agama Kristian milik Bill di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 2008 telah dilakukan menurut satu arahan kerajaan dan arahan khas atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Keputusan menteri merampas lapan cakera padat tidak melanggar sebarang hak asas beliau yang dijamin di bawah Perkara 8 (Kesamaan di bawah undang-undang)
dan 11 Perlembagaan Persekutuan (Kebebasan beragama)," katanya.

"Bill masih menikmati hak asasnya dalam lingkungan Perlembagaan, kata Shamsul dalam rayuan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan yang memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengembalikan semua cakera padat terbabit kepada Bill, seorang keturunan Melanau. 

Shamsul berkata, rampasan semua cakera padat terbabit adalah atas arahan Menteri Dalam Negeri dan bukan pegawai Jabatan Kastam, Suzanah Muin yang hanya bertindak atas arahan menteri.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri bertindak secara sah, rasional dan munasabah dalam keputusannya dan keputusan yang dibuat adalah bertujuan pencegahan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam, beliau tidak perlu menunggu tercetusnya kekacauan untuk menggunakan kuasanya bagi menghalang keganasan demi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Semasa disoal oleh Hakim Datuk Seri Zakaria Sam, seorang daripada tiga panel hakim bersidang, mengenai sama ada menteri telah mempertimbangkan bahawa semua cakera padat terbabit yang mengandungi judul setiap satu hanya untuk kegunaan Bill sendiri, Shamsul berkata: "Ia boleh digunakan untuk dirinya sendiri tetapi pada masa sama kita tidak boleh menolak salinan cakera padat ini juga boleh dibuat."

Peguam Bill, Lim Heng Seng dalam hujahnya berkata, keputusan merampas cakera padat adalah tidak rasional kerana anak guamnya dan suku kaumnya dan Bumiputera Kristian lain di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah 'Allah'untuk eberapa generasi tanpa kekeliruan, sensiviti beragama atau mengancam ketenteraman awam.

Katanya hak beragama Bill tidak boleh dihadkan kepada kebebasan pengakuan tetapi juga mengamalkan agamanya.

Lim berkata, keputusan Menteri Dalam Negeri merampas cakera padat Bill adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan melanggar hak kebebasan beragama yang
dijamin di bawah Perlembagaan.

Beliau berkata, Suzanah telah bertindak sendiri untuk merampas cakera padat terbabit dan Bill tidak diberikan hak untuk didengar dan peluang menolak pandangan silap Suzanah dalam tindakannya.

Pada 21 Julai lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan semua cakera padat yang dirampas dikembalikan kepada Bill.

Bill turut membuat rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tidak memberikan ganti rugi yang dituntutnya.

Pada Mei 2008 cakera padat yang berujudl 'Cara Hidup Dalam Kerajaan ALLAH', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan ALLAH' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan ALLAH' telah dirampas daripada Bill selepas beliau turun dari pesawat.

Wanita Melanau itu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut cakera padat yang dirampas serta bayaran ganti rugi.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel tiga hakim, telah menangguhkan keputusan terhadap rayuan sehingga ke tarikh yang akan ditetap kemudian.

Seorang lagi panel hakim bersidang ialah Datuk Abang Iskandar Abang Hashim. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment