Thursday 23 April 2015

Rozana beritahu mahkamah tulang hidung retak, tulang rusuk patah dipukul Awie


Isteri penyanyi rock Awie memberitahu Mahkamah Majistret Ampang di sini bahawa tulang hidungnya retak dan patah tulang rusuk akibat dipukul, ditumbuk dan ditendang suaminya itu selepas berlaku perselisihan faham. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Isteri penyanyi rock Awie memberitahu Mahkamah Majistret Ampang di sini bahawa tulang hidungnya retak dan patah tulang rusuk akibat dipukul, ditumbuk dan ditendang suaminya itu selepas berlaku perselisihan faham.

Rozana Misbun, 37, memberitahu mereka bertengkar selepas Awie atau nama sebenarnya Mohd Azhar Othman menuduhnya mencuri dan menggunakan wang tanpa kebenaran suaminya itu.

"Dia tanya saya, di mana wang tersebut ... saya memberitahunya kesemua wang tersebut dibelanjakan untuk urusan perbelanjaan keluarga, tapi dia tidak mempercayainya," katanya.

Katanya, Awie turut bertindak agresif dengan menghayunkan batang kamera (monopod) terhadapnya dan mengakibatkan telinga kirinya pula berdarah.

Selain itu, beliau berkata Awie memijaknya di bahagian badan sebelah kiri menyebabkan beliau mengalami pendarahan sehingga dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 4 Jun tahun lepas, selama empat hari.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene tentang perasaan dan reaksinya ketika kejadian itu, Rozana berkata beliau yang sedang menahan kesakitan merayu kepada suaminya itu untuk berhenti berbuat demikian.

Rozana berbaju dan berselendang biru memberi keterangan pada perbicaraan kes Awie yang menghadapi tuduhan mencederakan isterinya itu, pada Jun tahun lepas.

Pada 4 Julai lepas, Awie, mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana, 36, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ibu kepada lima anak itu berkata, Awie kemudian memberikan sehelai sapu tangan untuk membersihkan luka dan kemudian mengajaknya pergi ke sebuah bank di Ampang.

Bagaimanapun, Rozana berkata dia enggan pergi ke bank dalam keadaan demikian menyebabkan Awie bertindak menariknya masuk ke dalam kereta.

"Ketika di bank tersebut pemandu dia sentiasa berada di belakang saya dan dia (Awie) berada di luar bank itu," katanya yang mengeluarkan wang berjumlah RM30,000 daripada akaunnya di Alliance Bank pada 2 Jun tahun lepas.

Rozana kemudian pergi ke sebuah bank lain untuk mengeluarkan wang tambahan, namun gagal kerana beliau terlupa membawa buku simpanan bank itu.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hazman Harun, Rozana memberitahu suaminya itu tidak mendengar terlebih dahulu penjelasan mengenai wang yang dibelanjakan sebaliknya memukul, menendang, dan memijaknya beberapa kali.

Rozana bagaimanapun, bersetuju dalam kejadian itu beliau tidak menjerit meminta tolong sedangkan lima anaknya dan pembantu rumah turut berada di dalam rumah pada masa kejadian.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bersambung 3 Jun ini.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment