Thursday 23 April 2015

Orang ramai gempar bangunan KWSP terbakar

Latihan simulasi kebakaran dikendalikan oleh Bomba dan Penyelamat Ipoh itu melibatkan kakitangan pelbagai agensi yang beroperasi dalam bangunan KWSP tersebut.

IPOH – Orang ramai yang melalui Jalan Greentown gempar apabila melihat kepulan asap dari bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, semalam.

Bagaimanapun, kepulan asap dari bangunan 11 tingkat itu adalah sebahagian daripada latihan simulasi kebakaran dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ipoh, P Samasuvam berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam latihan yang bermula dari jam 9 hingga 10 pagi itu.

Menurutnya, latihan itu adalah persediaan bagi menghadapi situasi sebenar serta melatih anggota bomba supaya lebih mahir mengendalikan situasi jika berlaku kebakaran.

“Kami juga tetapkan tempoh masa tertentu agar semua pihak dapat bekerjasama untuk menangani situasi tersebut dengan lebih berkesan,” katanya.

Katanya, lebih 400 kakitangan dalam bangunan yang menempatkan pelbagai agensi itu memberikan kerjasama baik sepanjang latihan itu.

“Mereka bertindak mengikut arahan dan berkumpul di tempat ditetapkan sejurus mendengar penggera kecemasan berbunyi.

“Kemudian, sejurus selepas selesai, kesemua kakitangan terbabit kembali ke bangunan tersebut dan meneruskan tugas masing-masing seperti biasa,” katanya.

Samasuvam berkata, pihaknya turut mengadakan sesi taklimat bersama jawatankuasa keselamatan bangunan dan pasukan penyelamat kecemasan (ERT) selepas tamat sesi latihan tersebut.

“Dalam taklimat itu, kami bincang pencapaian dan cara terbaik untuk memperbaiki kekurangan daripada latihan tersebut,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment