Thursday 23 April 2015

Imej berani Lexus NX 200t F-Sport, garang dan eksklusif



Susun atur kabin moden dan mewah.

Enjin 2.0 liter pengecas turbo lancar dan berkuasa.

EVOLUSI Lexus dalam penghasilan model baharu diterjemahkan menerusi rekaan intuitif dan futuristik. Lexus begitu berusaha untuk kelihatan berbeza.

Ramuan itu berjaya menarik perhatian pengguna. Mustahil untuk diabaikan dan tiada siapa akan melabel SUV (kenderaan utiliti sport) mewah Jepun itu sebagai membosankan. Itu yang pasti.

Proses matang Lexus NX mengambil masa lima tahun yang mana tempoh kajian selama setahun dan selebihnya digunakan untuk mengeksplorasi perincian. Menurut Ketua Juruteranya, Takeaki Kato 2015 adalah waktu sesuai memperkenalkan NX.

Projek yang dimulakan pada 2009 itu memakan masa yang lama kerana NX menggunakan enjin dan platform baharu.

Namun, NX sebenarnya memiliki DNA Toyota RAV4 daripada segi platform tetapi ia menampilkan rekaan radikal dan kejuruteraan spesifik tersendiri. Bahkan, jika dilihat senarai teknologi yang diperkenalkan pada NX juga lebih ke hadapan.

Cukup saya membincangkan tentang pembangunan NX. Model pandu uji yang saya terima ialah NX200t F Sport dengan pacuan semua roda (AWD). Sebaik menerima kunci daripada pihak UMW Toyota Motor petang Isnin itu, saya langsung memandu NX sekitar Shah Alam.

Tanggapan pertama saya ketika berada dalam kabin sungguh selesa. Kerusi dengan kemasan kulit upholsteri merah memeluk tubuh dengan kemas dan lembut.

Meninjau keseluruhan kabin sambil tangan mengetuk dan membelai di setiap perincian papan pemuka dan pintu cukup menyenangkan dengan kemasan lembut dan perincian mewah yang diketengahkan Lexus. Sehinggakan sekecil-kecil perincian turut diambil kira.

Ini kerana ketika mata saya tertoleh di tepi konsol tengah, saya terlihat skru dengan ukiran perkataan Lexus di kepalanya. Satu ciri yang mungkin tidak dihargai. Namun Lexus tidak mengambil enteng tentang itu.

Bahagian depan dan belakang kabin adalah lebih luas daripada yang dijangkakan jika dibandingkan dengan luaran kompak NX. Akan tetapi garis bumbung rendah di belakang tidak mampu menawarkan ruang seperti di dalam Audi Q5 atau BMW X3.

Tetapi ada jumlah yang layak untuk ruangan kaki. Lebih baik lagi, lantai adalah hampir rata. Bermakna penumpang yang duduk di tengah bangku belakang akan berasa selesa.

Di tempat lain dalam kabin, anda akan menemui banyak penyimpanan berguna, termasuk beberapa ruang besar di tepi pintu, glovebox dan ruang bertutup antara tempat duduk depan.

Dan terima kasih kepada brek parkir elektrik yang memberikan ruang untuk meletakkan sepasang besar cawan di konsol tengah.

Selain itu, Lexus memilih kawalan tombol dan bukan paparan skrin sentuh. Ini satu pujian besar! Anda akan menemui skrin 7-inci yang menyajikan berbagai informasi khas Lexus. Ia dikendalikan menerusi pad sentuh baharu iaitu Remote Touch Interface (RTI).

Ciri terkini itu menggantikan RTI gaya tetikus sebelum ini. Sebenarnya, kawalan pad sentuh ini hampir meletakkan saya ke dalam terapi pengurusan kemarahan.

Apabila menggunakan RTI, saya perlu melihat skrin paparan di atas papan pemuka dan perlu tepat dengan pergerakan jari pada pad sentuh. Jika hujung jari terlalu kering, pasti anak panah akan tersasar pada ikon yang ingin ditekan dan keputusan tidak akan menjadi lebih baik.

Sebenarnya proses itu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Namun dengan adanya respons getaran sedikit membantu proses pencarian. 

Selain itu, sistem hiburan Mark Levinson dengan 14 pembesar suara (bagi F sport) dan kualiti audio ditawarkan sangat menampung untuk mendengar konsep teater.

Bunyi lunak dari pembesar suara membuatkan saya menikmati alunan muzik dengan penuh berjiwa tanpa rasa tertekan berada dalam kesesakan lalu lintas padat.

Sehinggakan terasa tidak mahu keluar dari kenderaan ketika memainkan barisan lagu kegemaran menerusi MP3.

Prestasi

Kini tiba kepada soal prestasi. Sebenarnya terdapat juga perkara menyulitkan memandu NX 200t. Sebelum saya terangkan, anda perlu tahu bahawa ini adalah model pertama Lexus dalam sejarah yang menggunakan pengecas turbo.

Dilengkapi enjin 2.0 liter 4-silinder yang menghasilkan 235hp dan tork 258Nm meletakkan NX sebaris dengan Audi Q5 dan BMW X3.

Transmisi automatik 6-kelajuan menggerakkan roda depan bersama ciri intuitif tukaran manual dan pedal shifter.

Kenderaan pandu uji saya turut didatangkan dengan pilihan sistem AWD Kawalan Dinamik Tork yang mana ia menghantar sehingga separuh kuasa enjin ke roda belakang dan turut mengaplikasikan ekaan khas differential hadapan untuk mengurangkan peluang kehadiran tork steer.

Beberapa sensor juga menghantar data ke perisian pintar yang akan memilih gear yang betul dan corak penurunan gear berdasarkan mod Eco, Normal, atau Sport.

Kerana itulah sepanjang pemanduan NX di dalam bandar, saya merasakan kelancaran penghantaran kuasa yang lembut tanpa sentakan. NX juga menyesuaikan kadar responsif berdasarkan tingkah laku pemandu yang mengambil kira kelajuan kenderaan, kedudukan stereng dan sudut pendikit.

Mungkin Lexus mempunyai lebih melalui powertrain itu. Menerusi pengalaman saya ia berfungsi dengan baik tetapi tidak sempurna. Pada keadaan pemanduan biasa, enjin terbukti responsif, dan di jalan berbukit NX 200t menyerlahkan watak olahraga.

Bagaimanapun, apabila menekan pendikit untuk mengambil kesempatan daripada ruang kosong dalam trafik, penghantaran kuasa di saat penurunan gear terkadang tertangguh.

Namun begitu, ketika pendikit ditekan keras di lebuh raya enjin memberikan kuasa yang responsif dan pengendalian yang diberikan cukup selesa. Bahkan SUV itu juga mengambil sudut dengan tepat dan kewujudan olengan badan di tahap sederhana.

Versi F-Sport didatangkan dengan tetapan suspensi dipertingkatkan iaitu set penyerap sport dengan 30-langkah tahap kawalan daya redaman untuk pengendalian lancar dan tepat. Cuma satu komen saya tentang NX ialah timbul satu perasaan kurang enak.

Talaan suspensi cukup lembut membuatkan NX 200t F Sport berasa terlalu mewah dan terlalu tinggi untuk melaksanakan suatu misi memandu berorientasikan pencapaian. Kadang-kala jentera seperti terbuai tanpa redaman yang terbaik ketika dipandu di bandar. Akan tetapi sebaik memandunya di lebuh raya ciri suspensinya mulai hidup.

Selebihnya pengalaman memandu adalah sesuatu yang bercampur. Walaupun perjalanan yang selesa di lebuh raya, penggantungan dirasakan lembut sekitar bandar manakala kawalan yang ringan menyampaikan maklum balas yang sangat sedikit.

Lexus NX juga tidak mempunyai kesabaran dan cengkaman seperti pesaingnya.

Kehadirannya NX menyemarakkan minat pembeli SUV kompak mewah yang bosan akan status quo. Rekaan baharu ditambah ciri terkini dan lebih ke hadapan berbanding pesaingnya digarap dengan tujuan menggoda konsumer yang belum tertarik meminang produk Lexus.


Spesifikasi

Lexus NX 200t F-Sport

Enjin: 2.0L pengecas turbo berkembar tatal
Kuasa Maksimum: 235hp @ 4,800-5,600rpm
Tork Maksimum: 350Nm @ 1,650-4,000rpm
Pecutan 0-100 km/j: 7.1 saat
Transmissi: 6-kelajuan automatik
Ciri keselamatan: 8 SRS beg udara, ABS, BA, traction control, vehicle stability control, hill-start assist, BSM, rear cross traffic alert
Harga: RM362,432 (termasuk GST)

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment