Amran (kanan) menunjukkan barangan kemas yang dirampas hasil dari aktiviti pengedaran dadah.
KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dengan nilai rampasan RM1 juta termasuk pelbagai barangan kemas dalam dua serbuan berasingan di Kota Bharu dan Tumpat, kelmarin.
Serbuan pada Op Cantas Narkotik itu turut membabitkan penahanan enam lelaki dan seorang wanita termasuk pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Amran Ramli berkata, serbuan dibuat ke atas sebuah rumah di Taman Puspa Uda Sdn Bhd, Jalan Perumahan Desa, Telipot di sini, pada jam 11.15 malam.
“Sepasang suami isteri berusia 39 dan 36 tahun ditahan bersama anak mereka yang masih bersekolah berusia 16 tahun. Turut ditahan seorang lelaki iaitu adik angkat pasangan ini yang berusia 21 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, semalam.
Amran berkata, kumpulan ini dipercayai sindiket pengedar dadah jenis syabu yang terbesar di negeri itu serta aktif menjalankan kegiatan mereka di Kelantan dan Terengganu sejak enam bulan lalu. Suspek wanita juga memiliki rekod lampau bersabit kesalahan sama.
“Selain tangkapan, serbuk kristal dadah bernilai RM1,250, pelbagai barangan kemas bernilai RM180,000, wang tunai Malaysia bercampur-campur bernilai RM217,000 dan wang tunai Thailand, Indonesia dan Singapura juga dirampas.
“Turut disita, jam tangan berjenama, tiga kenderaan mewah jenis BMW dan Honda, empat motosikal serta satu senjata Crossbow bersama 11 anak panah. Kesemua barang ini dipercayai hasil daripada kegiatan jual beli dadah oleh sindiket ini,” katanya.
Dalam pada itu, 15 minit sebelumnya, satu serbuan dibuat ke atas sebuah rumah di Kampung Kulim, Wakaf Bharu, Tumpat, tepat jam 11 malam.
“Sejumlah 36 gram syabu, 40 pil eramin 5 dan 30 pil kuda bernilai RM10,000 dirampas bersama tiga lelaki masing-masing berusia 32, 44 dan 48 tahun.
“Ujian saringan awal mendapati kesemuanya positif dadah, manakala, seorang daripadanya memiliki rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan menyebabkan cedera,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana memiliki dadah dan 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment