Kapal Twin Otter yang terhempas di Kudat
SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga serta mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat Twin Otter MASwings di Kudat semalam.
Menurutnya kerajaan negeri serta rakyat Sabah merasa sedih dan simpati kepada mereka yang terlibat dalam nahas itu.
"Kami berharap mereka tabah menghadapi musibah itu dan mendoakan mangsa yang cedera sembuh dengan segera," katanya di sini hari ini.
Musa meminta mereka yang terlibat akan memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat bagi mengetahui punca nahas.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 petang itu, pesawat membawa 16 orang termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang berlepas dari Kota Kinabalu dan terbabas ketika mendarat di Landasan Terbang Kudat lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Sin San.
Dua terbunuh dalam nahas itu iaitu seorang penumpang dikenali sebagai Tan Ah Chai, 96, mati ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Kudat.
Seorang lagi adalah pembantu juruterbang, Marc Joel Bansh, 23, mati di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. - Bernama
No comments:
Post a Comment