Friday 11 October 2013

Empat penjenayah ditembak mati di Ampang

Empat penjenayah ditembak mati di Ampang

KUALA LUMPUR:  Kurang sembilan jam selepas melakukan rompakan, empat penjenayah warga asing maut setelah berbalas tembak dengan polis.

Siasatan mendapati kumpulan terbabit aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak lima tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Ah Fatt itu dipercayai merompak sebuah rumah milik orang kenamaan di Bukit Antarabangsa, Ampang pukul 3.30 pagi tadi.

Mereka kemudian bersembunyi di sebuah unit kediaman di PPR Ampang Hiliran.

Polis berjaya menjejaki mereka kemudian menahan seorang lelaki tempatan dipercayai baru menjalankan urusan pembelian barang samun dengan kumpulan itu kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Sejurus itu, polis menyerbu masuk rumah berkenaan namun ditembak suspek memaksa tembakan balas dilepaskan.

Dua daripada suspek mati di ruang tamu manakala seorang mati di dalam bilik  dan seorang lagi di bahagian belakang.

Pemeriksaan di lokasi menemui sepucuk pistol dan beberapa barang-barang dipercayai hasil samun.

Menurut Mohmad Salleh, kumpulan ini sering lari ke Batam selepas merompak dan memasuki Malaysia kemudian.

Ketika ini, usaha memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai turut memiliki dua pucuk pistol dijalankan.

Polis turut menyiasat kaitan kumpulan itu dengan rompakan di rumah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bulan lalu.

Sumber: ASTRO Awani. Oktober 11, 2013

No comments:

Post a Comment