Tuesday 24 September 2013

Kerajaan belanja RM2.88 juta untuk rumah terbuka Aidilfitri PM

Kerajaan belanja RM2.88 juta untuk rumah terbuka Aidilfitri PM - Shahidan Kassim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini memberitahu bahawa kos penyediaan makanan serta minuman untuk Majlis Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana pada 8 Ogos 2013 ialah sebanyak RM 2,880,000.

Dalam satu kenyataan bertulis di Parlimen hari ini, Shahidan menjelaskan rumah terbuka tersebut telah dihadiri oleh lebih 80,000 orang tetamu yang terdiri daripada rakyat pelbagai bangsa, agama dan lapisan masyarakat.

“Selain itu ia turut dihadiri oleh pelancong-pelancong asing serta tetamu kenamaan dalam kalangan ketua-ketua jabatan kerajaan, duta-duta dan perwakilan asing di Malaysia serta ahli-ahli korporat tempatan dan luar negara,” kata beliau.

Shahidan menjawab soalan dari Anggota Parlimen DAP-Seremban, Anthony Loke yang meminta kerajaan menyatakan pecahan butir-butir kos secara terperinci yang telah ditanggung oleh kerajaan untuk menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Kabinet Malaysia 8 Ogos lalu serta nama syarikat katering yang membekalkan makanan untuk pengunjung dan harga yang dikenakan untuk setiap orang.

Katanya bagi sajian makanan dan minuman, kos yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM36 seorang yang disediakan oleh syarikat Kuzie Catering.

Sementara itu, Anthony dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan membelanjakan kos yang besar untuk majlis tersebut.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tender untuk katering diberikan kepada hanya satu syarikat.

“Majlis yang besar macam ini… mengapa kerajaan tak boleh pecahkan kepada lebih ramai katerer? Mengapa satu projek ataupun majlis RM 2.8 juta dan bagi kepada satu syarikat?

“Saya rasa banyak syarikat buat katering… mengapa tak boleh pecahkan kepada 10 syarikat umpamanya?” soal Anthony.

Katanya sekiranya tender terbuka dilakukan melibatkan lebih banyak syarikat katering, kos tersebut dapat dikurangkan

Anthony bagaimanapun menafikan bahawa DAP meminta kerajaan membatalkan program seumpama itu.

Beliau sebaliknya merasakan ia adalah program yang dapat memupuk perpaduan semua rakyat di Malaysia.

- ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment