Tuesday 24 September 2013

Hajat buat akikah tidak kesampaian

Hajat Allahyarham Kpl Zal-Azri Abdul Somad membuat akikah untuk anak lelaki bongsunya pada Hari Raya Haji bulan depan tidak kesampaian apabila maut ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di Melaka, hari ini.

Ibunya Zaiton Ismail, 54, yang terkejut sewaktu menerima berita kematian itu berkata anak keduanya pernah menyuarakan hasrat untuk membuat akikah sewaktu pulang berhari raya pada Ogos lepas.

"Walaupun sedih tapi mak cik redha dengan ketentuan ini, Zal-Azri anak yang baik dan sangat disenangi ahli keluarga dan jiran-jiran," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Zaiton berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada menantunya Atiqah Mohd Rosdi, 29, kira-kira pukul 9 pagi.

"Tak tergambar perasaan mak cik ketika itu. Mak cik sedih dan terkedu apabila diberitahu oleh menantu. Kali terakhir kami berjumpa semasa dia pulang beraya bulan lepas dan tiada sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan," katanya.

Dalam pergelutan itu, Zal-Azri, 31, daripada Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Melaka SAC Datuk Chua Ghee Lye berkata, Zal-Azri ditemui anggota pasukannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 25 meter dari tempat pergelutan itu, sebelum meninggal dunia.

Beliau berkata suspek yang dapat melarikan diri selepas pergelutan itu, berjaya ditahan di Krubong pada pukul 10.50 pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Jenazah Allahyarham Zal-Azri dijangka dikebumikan di tanah perkubburan Islam Sungai Gelugor malam ini.

- Bernama

No comments:

Post a Comment