Tuesday 24 September 2013

Belum ada yang ditahan berkaitan 'Projek IC' di Sabah, tunggu RCI selesai

Belum ada yang ditahan berkaitan 'Projek IC' di Sabah, tunggu RCI selesai - Shahidan

Tindakan terhadap individu-individu yang disyaki terlibat dalam projek pemberian kad pengenalan palsu (Projek IC) di Sabah hanya akan dilakukan selepas siasatan dari Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing Di Sabah selesai.

Sidang RCI yang sepatutnya berakhir pada 21 September yang lalu telah dilanjutkan tempohnya dan dijangka akan berakhir pada 21 Disember ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam sidang parlimen hari ini bertanyakan berapakah tangkapan yang telah dibuat terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah 'Projek IC' di Sabah seperti yang telah didedahkan sepanjang siasatan suruhanjaya itu dan berapa ramai pula yang telah dihadapkan ke mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan bahawa tiada sebarang individu akan dikenakan tindakan selagi sidang RCI itu masih berlangsung.

“Sementara laporan itu disiapkan, tidak ada apa-apa tindakan boleh diambil berdasarkan laporan tersebut sementara tindakan-tindakan yang berlaku sekarang ini hanyalah berdasarkan kepada keadaan semasa yang berlaku termasuklah penangkapan-penangkapan yang dibuat dan tidak melibatkan suruhanjaya,” kata Shahidan.

Beliau menerangkan bahawa semua perkara yang dibangkitkan oleh suruhanjaya akan diambil tindakan.

“Namun, sekiranya ada kes yang berlaku atau laporan yang dibuat, tindakan yang dilakukan bukanlah atas dasar suruhanjaya. Apa yang dilaporkan oleh suruhanjaya itu nanti akan diambil tindakan oleh kami dan kita akan tengok angka (individu terbabit) yang sebenarnya,” katanya.

Suruhanjaya itu telah pun bersidang sejak Januari tahun ini bagi menyiasat kewarganegaraan Malaysia yang didakwa diberikan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut tampil memberi keterangan pada minggu lepas.

- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment