Tuesday 24 September 2013

Bapa khuatir anak hilang, tidak lapor diri

Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah agama di Pokok Sena, Alor Setar dikhuatiri hilang setelah tidak melaporkan diri di asrama sejak awal bulan ini.

Syihab Elfaid Abdul Kadir, 14, disedari hilang oleh ibu bapanya pada 17 September lepas setelah pihak sekolah memaklumkan dia tidak tinggal di asrama sekolah berkenaan lebih dua minggu.

Bapanya, Abdul Kadir Che On, 51, dari Taman Bidara di sini berkata, kali terakhir dia menghantar anak lelakinya ke terminal bas Kulim untuk pulang ke asrama itu pada 7 September lepas.

"Kami benar-benar menyangka bahawa Syihab terus pulang ke asrama sekolah di Pokok Sena pada hari tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Kadir berkata, setelah diberitahu anaknya sudah lama tidak ke sekolah, dia bergegas ke sekolah anaknya itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Setiba di sana saya merasa amat terkejut dan tidak menduga sama sekali bahawa Syihab ponteng kelas dan sudah tidak tinggal di asrama sejak awal September lagi," kata Abdul Kadir.

Katanya, dia telah menghubungi anggota keluarganya di beberapa lokasi sekitar Baling dan Pokok Sena namun tidak berhasil untuk menjejak anak lelakinya itu, sebelum membuat dua laporan di balai Polis Pokok Sena dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 17 September.

Sementara itu, ibu pelajar berkenaan, Zurati Nayan, 39, memberitahu anak keempat daripada tujuh beradik itu lebih gemarkan aktiviti lasak dan sering bergaul dengan rakan-rakan yang lebih tua daripadanya.

Zurati berkata, sejak akhir-akhir ini anaknya itu sering merungut dan meminta supaya ditukarkan ke sekolah lain kerana dikatakan tidak selesa belajar di Pokok Sena.

Katanya, dia dan suami akan mempertimbang untuk menukar sekolah anaknya itu dan merayu agar Syihab Elfaid segera pulang ke pangkua

n keluarga. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelajar itu diminta menghubungi keluarganya di talian 019-4572318 atau 019-4582318 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

- Bernama

No comments:

Post a Comment