Tuesday 9 June 2015

Tindakan dan pendakwaan atas tuduhan liar dan pendedahan tabloid karut - Najib

Perdana Menteri berkata tindakan dan pendakwaan berdasarkan tuduhan liar dan pendedahan tabloid merupakan tindakan yang karut.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan dan pendakwaan berdasarkan tuduhan liar dan pendedahan tabloid merupakan tindakan yang karut.

Najib merujuk kepada dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa "meminta orang ramai tidak tanya sebarang soalan sehingga laporan Ketua Audit Negara adalah mengarut".

Ketua Audit Negara (AG) kini dalam proses mengaudit syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Saya juga mahu jawapan yang cepat tetapi jika kita tidak membenarkan pihak berkuasa memberikan maklumat dengan cara yang sewajarnya dan mengikut perundangan, bagaimana boleh kerajaan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati bersalah?

"Adakah kerajaan sepatutnya mengambil tindakan dan pendakwaan berasaskan tuduhan liar dan pendedahan tabloid? Ini karut," katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau, NajibRazak.com.

Berikutan isu 1MDB telah disensasi dan dipolitikkan, sehingga menyebabkan pelbagai 'pendedahan' di beberapa laman web dan portal berita pihak ketiga, selain serangan daripada ahli politik veteran, "hampir mustahil bagi pengurusan 1MDB atau sesiapa sahaja untuk menerangkan pelbagai isu tanpa melihat kenyataan mereka diputarbelitkan dan diperbesar-besarkan oleh pihak yang mempunyai motif tersembunyi," demikian menurut Najib dalam blog itu.

"Itulah sebabnya siatasan penuh oleh pihak berkuasa diperlukan supaya tidak berlaku salah tafsiran atau diputar belitkan.

"Dengan membenarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan AG membentangkan laporan penuh, akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih baik utuk mengenal pasti apa yang berlaku," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkata AG mempunyai reputasi tidak berkompromi apabila melaporkan mengenai kelemahan dalam kewangan awam.

Beliau juga menyebut yang PAC terdiri daripada penggubal undang-undang daripada kerajaan dan pembangkang.

"Oleh itu, adalah ironis jika ada dakwaan AG tidak membuat sebarang laporan sedangkan secara umumnya sudah menjadi tugas beliau untuk mendedahkan kebenaran dan pandangan adil kewangan kementerian atau syarikat. Dalam sebarang kes, PAC mempunyai skop yang lebih luas dan sudah memulakan siasatan mereka," kata beliau.

Najib berkata beberapa individu juga tidak berpuas hati yang penemuan itu akan mengambil masa.
"Jika objektif sebenar untuk mencari kebenaran mengenai 1MDB berbanding cuba menjatuhkan kepimpinan sedia ada, maka juruaudit wajar diberi masa untuk menghasilkan penemuan.

"Tidak bukti sesiapa telah 'dirompak', hanya dakwaan. Adakah wajar dakwaan liar dan spekulasi ini disebar luas dan bertindak untuk menjatuhkan pemimpin negara jika jawapan segera tidak diberikan berbanding mendapatkan apa yang sebenarnya berlaku?" tanya beliau.

Mengenai dakwaan lain yang 1MDB, dengan pengetahuan penasihatnya, terlibat dalam pengubahan wang haram, Najib berkata dakwaan itu akan ditangani AG dan PAC dalam laporan lengkap mereka.

"Bagaimanapun, ingin saya menyatakan bahawa saya tidak mengetahui sebarang kegiatan pengubahan wang haram oleh 1MDB. Jika sesiapa didapati bersalah kerana pengubahan wang haram, mereka akan dibawa ke muka pengadilan," kata beliau. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment