Tuesday, 9 June 2015

Saya tak dingin, cuma malu - Afgan

AFGAN atau nama sebenarnya Afgan Syahreza, 26, berkata beliau adalah seorang yang begitu pemalu dan sehingga kini masih bergemuruh ketika di pentas.

KUALA LUMPUR : Penyanyi Indonesia, Afgan yang semakin mengecapi populariti menafikan beliau bersikap dingin dan semakin 'demanding' terhadap tawaran yang dikemukakan.

Afgan atau nama sebenarnya Afgan Syahreza, 26, berkata beliau adalah seorang yang begitu pemalu dan sehingga kini masih bergemuruh ketika di pentas.

"Saya bukan seorang yang sombong atau dingin sebaliknya saya begitu pemalu. Apabila berhadapan dengan orang yang baru dikenali, saya memerlukan masa untuk mesra dengan mereka.

"Mungkin juga kerana saya rapat dengan Rossa maka ada yang membandingkan saya dengan beliau. Beliau memang seorang yang ceria dan begitu juga saya cuma saya memerlukan sedikit masa untuk dekat dengan orang.

"Isu 'demanding' itu juga tidak benar kerana saya seorang yang ringkas saja. Asalkan ada pengangkutan, tempat tinggal dan makan sudah cukup buat saya," ujar Afgan sambil tersenyum.

Afgan ditemui pada sidang media Konsert Suara Hati di DOME, The Curve di sini semalam bagi mempromosikan Konsert Suara Hati Afgan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada September depan.

Afgan akan menyampaikan sebanyak 20 lagu dan penyanyi Datuk Rossa akan turut tampil mengadakan persembahan pada konsert itu.

"Saya begitu teruja kerana bakal mengadakan konsert solo pertama di Malaysia. Banyak kejutan yang bakal ditampilkan di konsert itu nanti dan saya ingin memberikan terbaik kepada peminat," katanya.

Tiket konsert yang dianjurkan Netzah Production Sdn Bhd itu dijual pada harga dari RM125 hingga RM455 bermula 16 Jun ini.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment