Tuesday, 9 June 2015

Pemuda maut ketika hadir temu duga kerja

Gambar hiasan

KUALA NERUS - Hasrat seorang pemuda untuk menghadiri sesi temu duga kerja di sebuah universiti di sini tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Bukit Tok Beng, di sini hari ini.

Insiden 10 pagi itu mengakibatkan mangsa Muhammad Warass Musa, 21, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C90 dari rumahnya di Kampung Masjid Batu Burok menuju ke Gong Badak bagi menghadiri sesi temu duga tersebut.

Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian yang berselekoh, mangsa dipercayai terjatuh dan menggelongsor bersama motosikalnya ke arah laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan peti sejuk.

Bagaimanapun, pemandu lori yang berasal dari Kuala Ibai, di sini sempat mengelak kenderaannya sebelum hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah Proton Exora milik seorang guru yang diletakkan di bahu jalan yang sedang membeli keropok lekor berhampiran lokasi tersebut.

Ekoran kejadian itu, lori jenis satu tan itu telah terbalik di tengah jalan hingga menghalang laluan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Nik Mohd Zain Nik Omar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment