Beberapa runtuhan besar berlaku di atas Puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi di Sabah.
KUNDASANG - "Saya tidak akan tinggalkan Gunung Kinabalu dan akan terus mendaki," kata Ridwan Kohinin, 25, seorang daripada malim Gunung Kinabalu yang terselamat dalam kejadian gempa bumi Jumaat lepas.
Ridwan, antara malim gunung yang membantu menyelamatkan pendaki yang cedera dan gambarnya ketika mengangkat seorang murid sekolah dari Singapura yang cedera, menjadi viral dalam media sosial.
Ridwan yang berasal dari Kampung Lembah Permai di Kundasang berkata pekerjaan malim gunung sudah sebati dalam dirinya sejak dia berusia 18 tahun.
"Saya membesar di kawasan kaki Gunung Kinabalu dan akan terus menjadi malim gunung selagi mampu," katanya kepada Bernama selepas berpeluang makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Kinabalu selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa dan waris malim Gunung Kinabalu di sini hari ini.
Najib meluangkan masa makan tengah hari bersama malim Gunung Kinabalu dan waris mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda kawasan Ranau dan beberapa daerah di negeri ini.
Ridwan yang terlibat dalam operasi mengangkat mayat pendaki berkata dia turut merasa trauma akibat insiden gempa bumi itu, bagaimanapun semangatnya semakin pulih hari ini dan boleh tidur lena serta bergaul dengan orang ramai.
"Tempoh tiga hari selepas gempa bumi itu, susah saya mahu cakap keadaan saya ketika itu," katanya sambil menjelaskan bahawa dia dan malim gunung lain berusaha untuk membawa turun pendaki yang cedera.
Ketika kejadian gempa bumi itu, Ridwan antara malim gunung yang berada di kawasan puncak Gunung Kinabalu dan dalam perjalanan ke kawasan Laban Rata membawa kumpulan pendaki.
"Saya dipertanggungjawabkan membawa turun seorang budak lelaki yang cedera dari Pondok Layang-Layang sebelum berjumpa dengan kumpulan penyelamat di Pondok Pelusa.
"Biarpun berhadapan cabaran dan kesukaran, saya bersyukur dapat membawa turun budak lelaki yang cedera itu," katanya.
Ridwan berkata dia menerima panggilan daripada bapa budak lelaki itu dari Singapura yang mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan anaknya.
Dia turut menghargai kehadiran Najib yang menyampaikan sendiri bantuan kepada mereka khususnya kepada waris keluarga malim gunung yang terkorban.
"Kami berterima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh kerajaan pusat dan negeri kepada malim Gunung Kinabalu," kata Ridwan.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment