Tuesday 9 June 2015

Insiden kain sarung di kaunter JPJ akan disiasat

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera diambil berhubung insiden seorang wanita diberikan kain sarung ketika mahu berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Saya kesal isu kod etika pakaian terjadi. Tidak ada perkara seperi peraturan kain sarung. Kita tidak harus mengenakan garisan panduan kod pakaian yang tidak perlu kepada orang awam.

"Terdapat keperluan segera untuk mengkaji semula garis panduan yang sedia ada," katanya dalam kiriman menerusi Facebooknya hari ini.

Sementara itu, JPJ menegaskan bahawa tiada peraturan yang menyatakan pelanggan perlu diberikan kain sarung jika tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

JPJ, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya berasa amat kesal atas kejadian yang menimpa seorang wanita baru-baru ini, dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami ketika berurusan di kaunter JPJ.

"Apa yang terjadi jelas telah menyulitkan urusan pelanggan tersebut. 

"JPJ sentiasa proaktif dalam memberi khidmat kepada orang ramai bagi memastikan mereka memperoleh perkhidmatan yang baik dan efisien," menurut kenyataan itu.

Pejabat JPJ adalah tertakluk kepada garis panduan kod etika pakaian yang telah ditetapkan sama seperti pejabat kerajaan lain, menurut kenyataan itu.

Semalam, kisah seorang wanita diberi kain sarung ketika mahu berurusan di kaunter JPJ tersebar di media sosial selepas beliau didapati tidak mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan untuk berurusan di kaunter kerajaan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment