Saturday 13 June 2015

Tiada sebarang arahan kenaikan tol

 
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang arahan rasmi atau surat berhubung kenaikan tol daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), diterima syarikat konsesi lebuh raya utama di negara ini, hari ini.

Rata-rata syarikat konsesi tersebut memberitahu Bernama, mereka belum mendapat sebarang notis rasmi meskipun terdapat laporan di akhbar dan portal dalam talian yang menyebut akan ada kenaikan tol tidak lama lagi.

Jurucakap Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) yang mengawal selia Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint berkata pada kebiasaannya, arahan rasmi berkaitan kenaikan tol akan diberikan pihak berkuasa seperti JKR dan LLM sebelum pihaknya boleh menguatkuasakan kenaikan tol.

"Kita tidak terima apa-apa arahan daripada LLM mahupun JKR untuk kenaikan tol. Kadar tol akan kekal pada kadar lama," katanya.

Senada dengannya adalah jurucakap Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) yang memberitahu, pihaknya masih menunggu arahan rasmi daripada kerajaan sebelum boleh menguatkuasakan sebarang kenaikan tol.

Sementara itu jurucakap Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pula menjelaskan pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kenaikan tol. 

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat Plus Malaysia Berhad, Mohd Nizam Ismail berkata kenaikan tol seperti digembar-gemburkan itu tidak melibatkan lebuh raya tersebut.

Mengulas mengenai ura-ura kenaikan tol itu, jurucakap Lebuhraya Pantai Timur 1 berkata pihaknya juga belum mendapat makluman rasmi daripada LLM dan hanya
mendapat berita daripada media cetak dan elektronik.

"Kita dengar perkara ini pun melalui akhbar. Kita belum terima apa-apa daripada LLM. Biasanya LLM akan keluarkan kenyataan rasmi kepada kami," katanya. LLM dalam satu kenyataan media tiga hari lepas, menyebut tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat konsesi berhubung kenaikan tol.

"Oleh itu sebarang kenyataan atau laporan berhubung kenaikan kadar tol adalah tidak benar," kata Ketua Pengarahnya Datuk Ir Ismail Md Salleh yang menambah pada masa ini, kadar tol bagi semua lebuh raya masih kekal pada kadar semasa.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika dihubungi berkata kenyataan rasmi berhubung adanya kenaikan tol atau tidak, akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Sebuah akhbar melaporkan Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan tol untuk kelulusan Kabinet hari and ini, melibatkan beberapa tol di Lembah Klang termasuk Lebuhraya Kulim-Butterworth dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

Laporan itu menyebut, kenaikan dijangka antara 20 sen dan RM1 yang berkuat kuasa Ogos ini, jika mendapat kelulusan Kabinet.

“Dilaporkan bahawa kerajaan dijangka membayar sebanyak RM558.69 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi jika kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tol di 20 lebuh raya,” tahun ini.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment