Saturday 13 June 2015

Gunung Kinabalu bukan gunung berapi

Beberapa runtuhan besar berlaku di atas Puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi di Sabah. 

RANAU - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah menafikan tanggapan yang mengatakan Gunung Kinabalu merupakan gunung berapi.

Ketua Unit JMG Sabah, Jontih Enggihom berkata, ia tidak pernah mengeluarkan lahar.

“Pendapat mengenai Gunung Kinabalu sebuah gunung berapi yang mati dan tidak aktif perlu diperbetulkan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa Gunung Kinabalu bukan gunung berapi tetapi merupakan batuan terobosan iaitu batuan granodiorite," katanya kepada Bernama di sini.

Pada 5 Jun lalu, 18 orang termasuk warga asing merangkumi 14 pendaki Gunung Kinabalu dan empat malim gunung terbunuh dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di Ranau.

Gempa itu mengakibatkan runtuhan batuan daripada puncak Gunung Kinabalu terkumpul di KM 6.1 hingga KM6.9 menyebabkan ia tidak selamat untuk aktiviti pendakian. 

Mengenai air panas di Poring yang bertukar warna menjadi keruh, Jontih berkata, ia bukan disebabkan tindakan gunung berapi tetapi kerana gegaran gempa bumi.

Beliau berkata gempa itu menyebabkan goncangan batuan di bahagian bawah kawasan air panas itu mengeluarkan keladak sehingga air menjadi keruh.

Katanya, JMG juga telah membuat pemeriksaan struktur pada Tasik Mamut dan mendapati ia tidak mengalami keretakan dan ia selamat kepada penduduk sekitar. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment