Papa Rock, Datuk Ramli Sarip
SHAH ALAM - Penyanyi terkenal, Datuk Ramli Sarip mengakui terkejut apabila namanya disenaraikan sebagai salah seorang artis yang bakal membuat persembahan pada pelancaran sebuah stesen radio minggu ini.
Menurut penyanyi yang mendapat jolokan 'Papa Rock' ini, pada tarikh tersebut, dia akan terlibat dengan sebuah persembahan di Padang Terap.
"Saya tahu juga pasal perkara ini. Tapi saya tidak terlibat apatah lagi menerima sebarang jemputan daripada pihak berkenaan.
"Saya takut mereka ada tersilap berhubung dengan orang lain. Sekiranya diberitahu lebih awal, saya mungkin tidak ada masalah untuk turut serta.
"Apa pun saya berharap nama dan gambar saya dikeluarkan daripada poster untuk mengelakkan salah faham pada hari pelancaran kelak," katanya.
Penganjur mohon maaf
Sementara itu, di ALOR SETAR, Sinar Harian berusaha menghubungi penganjur program Minggu Motosikal Alor Setar (Alor Setar Bike Week) yang kemudian memohon maaf kepada penyanyi Datuk Ramli Sarip atas kesilapan yang tidak disengajakan.
Difahamkan, permohonan maaf itu dibuat kerana berlaku kelewatan jemputan untuk membuat persembahan nyanyian pada program yang berlangsung hari ini hingga 14 Jun.
Program yang julung kali diadakan itu turut menampilkan beberapa artis popular tempatan seperti Bandi Amok, Lan Sutera, Adira, Pak Long dan Ramli Sarip.
Bagaimanapun, Ramli dikatakan tidak mengetahui jemputan untuk menghadiri program tersebut seperti yang dihebohkan ramai.
Penganjur bersama mengakui pihaknya telah mengedar poster program tersebut lebih awal sebelum mendapatkan pengesahan kehadiran daripada artis-artis jemputan.
“Poster yang dihebohkan ramai itu adalah merupakan perancangan awal penganjur. Kita akui mengalami kesuntukan masa untuk jemputan dan sebagainya.
“Kami mohon maaf kepada beliau atas kelewatan yang tidak disengajakan ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pihak penganjur turut mengesahkan ketidakhadiran Ramli pada program tersebut atas kelewatan jemputan dan telah memadam nama beliau pada poster yang ditampal di kawasan sekitar untuk mengelak sebarang pertikaian.
Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah pertunjukan aksi stunt, pertandingan motosikal tercantik, persembahan artis dan band jemputan, pameran kereta dan motosikal, pameran gerai serta banyak lagi.
Tinjauan Sinar Harian di Taman Jubli Emas, di sini mendapati lebih 30 khemah telah didirikan sempena program tersebut.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment