Saturday 13 June 2015

Bapa tuntut nasib anak dibela

Saiful Azrin cedera parah ketika terlibat dalam kemalangan dua bulan lalu.

KAMUNTING – Seorang bapa melahirkan kebimbangannya mengenai masa depan anaknya yang sukar untuk bercakap selepas terbabit dalam kemalangan, 4 April lalu.

Ketika kejadian di Taman Mewah, itu, motosikal dipandu Saiful Azrin Mohammad Rahim hilang kawalan selepas melanggar bonggol jalan di kawasan itu yang tidak diletakkan sebarang papan tanda amaran.

Bapanya, Mohammad Rahim Harun, 62, berkata, akibat kejadian itu, anaknya menerima 42 jahitan di bahagian mulut dan terpaksa melalui dua kali pembedahan.

Menurutnya, walaupun kejadian itu berlaku dua bulan lalu, namun Saiful Azrin masih belum pulih sepenuhnya.

“Dia sukar bercakap selain tidak boleh makan makanan keras. Saya tak rasa dia boleh bekerja seperti sebelum ini, itu yang saya bimbang,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4 April lalu, mangsa yang menunggang bersendirian mengalami kecederaan selepas motosikalnya terjatuh ketika melalui kawasan itu.

Difahamkan, sebaik insiden itu, terdapat pihak mengambil inisiatif meletakkan garisan kuning supaya kejadian sama tidak berulang.

Mohammad Rahim berkata, dia berhasrat untuk menuntut ganti rugi atas kejadian menimpa anaknya itu.

“Saya dimaklumkan, bonggol di kawasan itu baru sahaja dibuat dan tiada papan tanda atau garisan kuning diletakkan oleh pihak berkenaan.

“Akibat kecuaian itu, anak saya kemalan hingga dia cedera teruk di kaki, tangan dan mulut,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Pengguna Taiping, Dr Billy Toh berkata, sebarang tuntutan boleh dibuat, namun siasatan perlu dilakukan secara terperinci.

Katanya, ini termasuk mengenal pasti sama ada kemalangan itu berlaku kerana kecuaian sendiri atau pihak berkenaan seperti meletakkan barang di atas jalan sehingga mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Selepas kita berjaya kumpul bukti-bukti kukuh, barulah tindakan saman boleh diambil kepada pihak yang berkenaan bagi menuntut kerugian untuk mangsa,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment