Saturday 13 June 2015

Susulan gempa bumi magnitud 5.1: PM arah agensi berkaitan ambil tindakan

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 2.29 pagi ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua agensi kerajaan berkaitan untuk mengambil tindakan berikutan kejadian gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter yang melanda Ranau pagi ini.

"Saya terima berita gempa bumi berukuran 5.1 pada skala Richter yang melanda Ranau, Sabah pagi ini.
"Agensi dan aset kerajaan berkaitan diarahkan dan dikerah untuk mengambil tindakan," katanya dalam catatan terbaharu di Facebook dan Twitter beliau hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 2.29 pagi ini.

Pusat gempa bumi itu terletak 6.2 darjah utara dan 116.5 darjah timur, kira-kira 25 kilometer tenggara Kota Belud, Sabah.

Gegaran turut dirasai di Ranau, Kudat, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud, Keningau dan Kinabatangan.

Pada 5 Jun lepas, 18 orang termasuk warga asing merangkumi 14 pendaki Gunung Kinabalu dan empat malim gunung terbunuh dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di Ranau, Sabah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Farhan Abdullah berkata setakat ini berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan kerosakan atau kecederaan disebabkan kejadian gempa bumi itu.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima 14 panggilan telefon daripada orang ramai yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata setakat ini belum ada laporan kerosakan atau kecederaan yang diterima. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment