Saturday 18 April 2015

Warga Singapura hilang di Pulau Tioman

KUANTAN - Pihak berkuasa masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong warga emas Singapura yang dilaporkan hilang selepas turun di Jeti Berjaya Beach Resort, Pulau Tioman, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, sehingga kini mangsa, Tan Kim Cheng, 83, yang mengikuti kapal pelayaran dan singgah ke pulau peranginan itu, masih belum masih belum ditemui.

"Kehilangan mangsa itu disedari anak kapal selepas mangsa tidak pulang ke kapal pada masa yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh anak kapal di Balai Polis Pulau Tioman sebelum gerakan mencari menemukan beg galas milik mangsa berwarna biru gelap yang tertera tulisan China Express," katanya.

Beliau berkata pada masa sama, polis turut menemui barangan lain seperti bateri kamera, satu unit kamera berserta sarung jenama Lumix, teropong jenama Optisan Gemini, satu mangga berserta kunci, satu set kunci, satu pen Princess Cruises serta sebotol air mineral di tempat kejadian.

Johari berkata, siasatan awal mendapati seorang pelancong lain ada memberitahu kepada anak kapal bahawa ternampak mangsa berjalan seorang diri menghala ke Kampung Paya kira-kira pukul 2 petang pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, Shamsul Affendy Sulaiman berkata setakat ini juga pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mangsa lemas atau sebaliknya namun gerakan SAR masih diteruskan.

Pasukan SAR terdiri pada lapan angoota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, 10 anggota polis, empat anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) dan tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment