Saturday 18 April 2015

Cipta stesen radio peribadi anda dengan RAKU



Aplikasi RAKU boleh dimuat turun secara percuma di Google Playstore dan Apple Appstore.

KUALA LUMPUR: Peminat muzik kini boleh menikmati pengalaman penstriman muzik dan radio Malaysia dengan ciri tempatan menerusi RAKU, perkhidmatan terbaharu daripada Astro Radio.

RAKU menawarkan akses kepada lebih 20 stesen radio tempatan, hampir dua juta lagu dan video serta podcast secara langsung serta maklumat terkini berkaitan perkembangan semasa seperti berita tempatan dan luar negara selain laporan trafik dan sukan.

RAKU, atau Radio Aku membolehkan pengguna membentuk stesen muzik dengan cara dan cita rasa sendiri selain boleh mendengar lagu mengikut ‘mood’ atau suasana yang diinginkan.

Melancarkan RAKU di Laundry Bar, The Curve pada Jumaat, Ketua Pegawai Operasi Astro Malaysia Holdings Bhd, Henry Tan berkata RAKU direka bentuk untuk menepati ciri-ciri pendengar Malaysia.

“Pengguna boleh memilih bahasa pilihan mereka sama ada Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil bagi paparan antara muka. Mereka juga boleh mencipta dan mengolah stesen radio mengikut cita rasa masing-masing dengan campuran muzik dan kandungan lain yang ditawarkan”, katanya.

Astro juga menjangka RAKU, mampu menarik lebih 500,000 pengguna aktif dan ia menetapkan masa enam bulan untuk menilai respons pasaran terhadap aplikasi baharu itu.

"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang sasaran, terutamanya dari segi hasil," katanya lagi.

Berbeza dengan aplikasi penstriman audio yang lain, RAKU membolehkan segmen radio seperti JoHaRa Pagi Era, Hitz.fm Morning Crew mahupun Sinar Pagi didengari pada bila-bila masa.

Pengguna RAKU juga boleh berhubung dengan lebih dekat dengan pemuzik, penyampai dan selebriti tempatan kegemaran mereka di mana mereka turut berkongsi senarai lagu kegemaran atau ‘playlist’ yang dipilih dan disusun mereka sendiri.

Antara yang telah memiliki ‘playlist’ di RAKU adalah Yuna, Pop Shuvit, Noh Salleh, Bittersweet, Man Bai, Alleycats, Bunkface dan para penyampai radio Astro seperti Ean, Jinny Boy dan RD daripada Hitz.fm, Hanif dan Hani daripada Era, Jack Lim (MY.fm) dan Aanantha (THR Raaga).

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Jake Abdullah, memberitahu, RAKU turut bertindak sebagai pentas yang membolehkan bakat baru tempatan memperkenal muzik mereka kepada khalayak secara lebih luas.

“Ia dapat menyemarakkan, menguatkan dan meluaskan industri muzik Malaysia. Bakat-bakat baru dapat diketengahkan apabila muzik mereka dapat didengari ramai dan tidak hanya bergantung kepada putaran di stesen radio arus perdana.”

“Ramai bakat baru di Malaysia ini yang hadir dengan karya yang berkualiti, tetapi mereka tiada peluang dan ruang. Jadi inilah platformnya,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Jake berkata, sesiapa sahaja kini boleh memuat naik karya muzik mereka dengan memuat naiknya ke laman web rasmi RAKU, www.raku.com.

RAKU hadir dengan dua pilihan perkhidmatan, iaitu secara percuma atau Premium.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi RAKU secara percuma di laman web www.raku.my, Google Playstore dan Apple Appstore.

RAKU Premium menawarkan lebih banyak fungsi tambahan dan pelbagai ciri inovatif seperti akses tanpa had kepada jutaan lagu daripada pangkalan data RAKU, senarai lagu yang boleh diubah suai, radio atas-permintaan, serta pelbagai lagi kelebihan seperti kemudahan memuat turun lagu semasa di luar talian.

Pengguna juga boleh berkongsi senarai peribadi dengan rakan-rakan di media sosial.

RAKU Premium boleh dilanggan dengan caj bulanan RM14.90 untuk raku.my dan Google Playstore, sementara USD5.99 untuk Apple Appstore. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment