Saturday 18 April 2015

SpaceX gagal selamatkan roket

ROKET Falcon 9 Space X yang membawa kapal kargo angkasa Dragon menuju ke orbit selepas dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida. - Foto AFP

MIAMI: Cubaan SpaceX untuk mengitar semula roket Falcon 9 dengan mendaratkannya secara menegak di atas pelantar di laut, gagal biarpun pelancaran misi kargo ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya.

"Pelancaran berjaya. Dragon menuju ke Stesen Angkasa. Roket mendarat atas pelantar tetapi terlalu kuat untuk selamat," kata ketua SpaceX, Elon Musk menerusi Twitter selepas roket itu dan kapal kargo angkasa Dragon berlepas dari Cape Canaveral, Florida.

Syarikat yang berpangkalan di California itu cuba mengubah industri roket dengan menjadikan jenteranya boleh diguna semula seperti pesawat komersial, sekali gus menjimatkan berjuta dolar.

Pada masa ini, bahagian roket jatuh ke laut selepas pelancaran dan tidak boleh digunakan untuk misi seterusnya.

Tetapi SpaceX cuba memantapkan teknologi yang membolehkan bahagian roket diterbangkan kembali dan dikawal untuk mendarat di atas pelantar di laut.

Cubaan pertama syarikat itu pada Januari lalu juga gagal apabila roket berkenaan berkecai selepas berlanggar dengan pelantar. 

- Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment