Saturday 18 April 2015

Dua anggota tentera hidap meningeoncephalitis


PORT DICKSON - Tentera Darat mengesahkan ‎kejadian dua kes anggotanya mengalami gejala meningeoncephalitis di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson.

Dalam kenyataan hari ini, Tentera Darat turut memaklumkan kesemua anggota terlibat telah menerima rawatan dan tindakan serta langkah pencegahan juga telah dilaksanakan di pusat latihan tersebut.

“Di samping pemantauan dari pihak Kementerian Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) Angkatan Tentera Malaysia turut bersama membantu dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan dan menjejaskan ketenteraman terutamanya kepada keluarga anggota terlibat dan masyarakat umum keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, kementeriannya menerima dua kes tersebut.

“Kedua-dua kes membabitkan perajurit muda yang kini sedang menjalani latihan di Pusasda sejak sebulan lalu.

“Mereka adalah rakan sebilik dan gejala awal dilaporkan oleh kedua-dua adalah demam dan kekejangan otot pada kaki. Mereka kemudiannya menerima rawatan awal di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Port Dickson dan kemudiannya kes kedua di rujuk ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur dan keadaan mereka kini dalam keadaan stabil,” kata Dr Noor Hisham.

Katanya, Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mengenalpasti punca sebenar di sebalik gejala jangkitan yang dilaporkan oleh kedua-dua kes tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment