Saturday 18 April 2015

33 maut, 100 cedera serangan bom berani mati

Keadaan luar bank yang menjadi lokasi pengeboman berani mati.

JALALABAD - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya 33 terbunuh dan 100 cedera dalam serangan bom berani mati di bandar Jalalabad, awal pagi tadi, lapor BBC.

Menurut polis, letupan itu berlaku di pintu masuk sebuah bank cawangan New Kabul di mana kakitangan awam dan tentera mengambil gaji.

Memetik laporan Xinhua, kesemua yang terbunuh dan cedera telah dihantar ke hospital Jalalbad awal pagi tadi.

“Bilangan kematian mungkin akan meningkat kerana mangsa yang tercedera ini sekarang berada dalam keadaan kritikal,” kata jurucakap kesihatan daerah, Imanullah Miakhel.

Sementara itu, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan pengecut dan kejam.

Dalam pada itu, polis mengesahkan satu lagi bom berjaya ditemui berhampiran dan telah selamat dimusnahkan.

Sehingga kini masih tiada mana-mana kumpulan yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Jurucakap Taliban turut menafikan penglibatan pihaknya dalam serangan tersebut.

Kanak-kanak dikatakan antara mangsa serangan itu.

10 April lalu, serangan Taliban terhadap konvoi Nato berdekatan lapangan terbang Jalalabad membunuh tiga orang awam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment