Saturday 18 April 2015

TV9 siar drama Ayuni Safira

DRAMA bersiri terbaharu, Ayuni Safira yang di bintangi Siti Saleha dan Aqasha.

KUALA LUMPUR: TV9 mempersembahkan drama bersiri terbaharu, Ayuni Safira, yang membariskan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2014, Siti Saleha, sebagai tonggak utamanya.

Drama Ayuni Safira yang menggandingkan Siti Saleha dengan Aqasha sudah mula bersiaran sejak 9 April lalu. Pada minggu pertama ini, Ayuni Safira bersiaran pada Khamis dan Jumaat, jam 8.30 malam dan pada setiap Jumaat pada waktu yang sama bermula 17 April ini.

Drama bersiri 14 episod yang diarahkan oleh Khairul Amri dan skrip oleh Shuhadatul Ain Zakaria itu mengisahkan mengenai Ayuni (lakonan Siti Saleha), yang dibesarkan dengan perasaan benci oleh ibu kandungnya sendiri iaitu Emelda (Maria Farida), yang menjadi mangsa rogol. Emelda cuba melupakan masa silamnya itu dengan membenci Ayuni. 


Emelda kemudiannya berkahwin dengan lelaki muda bernama Fakhri (lakonan Afiq Muiz). Kecantikan Ayuni membuatkan bapa tirinya itu cuba merogolnya. Fakhri cuba menafikan perbuatan jahatnya kepada Emelda dengan mengatakan Ayuni cuba menggodanya menyebabkan Ayuni dihalau ibunya. 

Sejak itu, dia tinggal dengan Mak Piah dan Fazrin, yang dianggap sebagai keluarga angkat. Suatu hari, dalam keadaan tergesa-gesa ekoran terlewat untuk ke tempat kerja, Ayuni melanggar kereta milik Zafran lakonan Aqasha. 

Secara kebetulan, Zafran adalah anak kepada pemilik restoran di tempat Ayuni bekerja dan bakal mengambil alih restoran itu. Malang terus berlaku apabila restoran milik Zafran hampir terbakar disebabkan kecuaian Ayuni.

Satu demi satu perkara buruk berlaku kepada Zafran disebabkan Ayuni menyebabkan Zafran membencinya. Perasaan benci memuncak dan untuk membalas dendam terhadap Ayuni, Zafran menawarkan perjanjian kepada Ayuni iaitu Ayuni perlu berkahwin dengannya untuk menutup kesalahannya. 

Zafran turut dipengaruhi oleh niat jahat ibunya, Puan Seri Liana (Zarina Zainuddin) untuk membalas dendam terhadap Ayuni kerana ibunya, Emelda pernah menghancurkan rumah tangganya dahulu.

Bagaimanakah nasib Ayuni yang diperdaya Zafran hanya kerana dendam? Saksikan kesudahan drama Ayuni Safira terbitan Global Station Sdn Bhd ini dan jangan lupa untuk menonton siaran ulangannya di www.tonton.com.my. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tv9.com.my.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment