Thursday 16 April 2015

Vanidah `larikan' buku cek, Seniman lucutkan jawatan

VANIDAH Imran. - Foto ihsan Murai

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sebulat suara membuat keputusan untuk melucutkan jawatan pelakon Vanidah Imran selaku bendahari persatuan.

Keputusan diambil rentetan kontroversi, yang mana Vanidah didakwa melarikan buku cek persatuan dan gagal memberikan sepenuh komitmen dalam menjalankan tugasnya.

Presidennya, Zed Zaidi, berkata keputusan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa bersidang pada Mac lalu dan majoriti ahli jawatankuasa mengundi untuk melucutkan jawatan Vanidah itu.

Seniman mewakili 5,000 pelakon tempatan dan 15 orang daripadanya bertindak sebagai AJK.

"Perkara ini sebenarnya sudah tertangguh untuk tempoh enam bulan. Ia membantutkan urusan bil tertunggak, gaji pekerja, bayaran sewaan dan perkara lain sekali gus menyukarkan pentadbiran Seniman.

"Kata sepakat dicapai untuk melucutkan jawatan Vanidah kerana kami berasakan beliau tidak boleh memberikan sepenuh komitmen menjalankan tanggungjawab sebagai bendahari persatuan.

"Jawatan itu kini diambil alih oleh pelakon Zarina (Raja Lawak). Matlamat utama persatuan adalah untuk membela nasib artis dengan menggerakkan persatuan dan bukan untuk membela individu," katanya kepada BH Online.

Vanidah dikatakan 'melarikan' buku cek persatuan dan tidak memberi kerjasama kepada persatuan ketika diminta untuk mengeluarkan wang bagi menjalankan operasi serta membayar gaji pekerja.

Enam AJK baharu bagaimanapun mengeluarkan kenyataan media mempertahankan tindakan Vanidah yang menyimpan buku cek itu. 

Mereka adalah Rashidi Ishak (Pengerusi Biro Sukan dan Sosial), Datin Sofia Jane (Pengerusi Biro Pelakon), Khir Rahman (Pengerusi Biro Pendidikan Seni dan Latihan), Arash Mohd (Pengerusi Biro Pemantauan dan Penguatkuasaan), Sharifah Amani (Ketua Biro Seniman Muda) dan Lisa Surihani (Pengerusi Biro Sukarelawan dan Penajaan).

Mengulas tindakan itu, Zed menegaskan, artis yang memegang jawatan dalam persatuan harus memberikan sepenuh komitmen berhubung persatuan walaupun sibuk dengan kerjaya supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment