Thursday 16 April 2015

Samsung lancar pencetak berkuasa Android pertama dunia


PENCETAK Siri MX4 berharga RM6,499 hingga RM47,500 seunit, menampilkan skrin sentuh panel Android bersaiz 10.1 inci tanpa perlu disambungkan dengan komputer peribadi. - Foto Saddam Yusof

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics telah melancarkan mesin pencetak Siri MX4 berkuasa Android yang pertama seumpamanya di dunia.

Pencetak Pelbagai Fungsi (MFP) berharga RM6,499 hingga RM47,500 seunit, menampilkan skrin sentuh panel Android bersaiz 10.1 inci tanpa perlu disambungkan dengan komputer peribadi (PC).

"Seiring tumpuan kami menghasilkan penyelesaian mesin pencetak yang serasi ekosistem pejabat serba pintar, siri ini turut menampilkan ciri unik teknologi Samsung Smart UX Center yang mana operasi itu dapat dijalankan tanpa penggunaan PC serta skala aplikasi yang mesra pengguna iaitu User-Interface (UI)," kata Ketua Jualan dan Bekalannya, Gan Ta Loong. 

Siri mesin pencetak itu mengetengahkan 10 model baharu daripada empat kategori berbeza termasuk X4300 bagi warna A3, siri K4350 bagi warna Monokrom A3 dan M5370 serta M4580 bagi Monokrom A4.

"Ini adalah langkah pertama bagi Samsung memperkenalkan pencetak berasaskan Android yang mana ia sesuatu yang baharu bagi siri MX4 berbanding menaik tarf daripada mesin sedia ada," katanya.

Siri pencetak itu akan turut meningkatkan kecekapan perniagaan pelanggan dan produktiviti selain pemprosesan dokumen dengan lebih pantas iaitu 1.5 kali lebih laju berbanding unit pemprosesan pusat sebelum ini.

Samsung Smart UX Center adalah teknologi khas sesentuh UK yang turut dilengkapi dalam siri gajet telefon pintar dan tablet Samsung Galaxy. 

- Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment