Thursday 16 April 2015

Roti canai naik 20 sen 1 Mei ini

Seorang pekerja di restoran diuruskan Noramrah di Bukit Payong sedang menebar roti canai dan harga makanan berasas tepung itu masih kekal pada harga lama.

Notis pemberitahuan ditampal seorang peniaga di sebuah kedai makan di pusat bandaraya Kuala Terengganu.

MARANG - Pengusaha restoran di Marang akan mengekalkan harga makanan berasaskan gandum pada harga lama, walaupun terdapat segelintir peniaga di pusat bandaraya sudah mula bercadang untuk menaikkan harga roti canai.

Seorang pengusaha restoran di Bukit Payong di sini, Noramrah Mohamad, 34, berkata, harga roti canai masih kekal pada harga lama iaitu roti kosong RM1 sekeping; roti telur RM1.80; capati RM1.50; roti sardin RM3.20 serta roti tisu RM2.

Menurutnya, pihaknya juga tidak bercadang untuk menaikkan harga makanan berasas tepung itu dalam masa terdekat ini kerana enggan kehilangan pelanggan yang sudah biasa dengan harga lama walaupun restoran itu mendaftar untuk GST.

“Harga makanan berasaskan gandum masih kekal pada harga lama iaitu harga lama sebelum GST walaupun kos modal meningkat sedikit dari segi kenaikan harga barang mentah termasuk harga plastik bungkusan dan lain-lain,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan segelintir peniaga di pusat bandaraya yang bercadang untuk menaikkan harga makanan berasas tepung, termasuk harga roti canai pada pada harga RM1.20 berbanding RM1 yang dicadangkan bermula 1 Mei ini.

Notis pemberitahuan harga baharu makanan berasas tepung bermula 1 Mei depan itu juga ditampal di beberapa sudut mudah dilihat pelanggan walaupun ia adalah sebuah kedai makan kecil yang dipercayai tidak mendaftar untuk GST.

Senarai harga itu juga tidak memaparkan perbandingan harga lama dan hanya memaparkan harga dicadangkan untuk dinaikkan bulan depan antaranya roti kosong RM1.20 sekeping; roti telur RM1.70; murtabak daging, ayam dan sardin RM3.50.

Seorang lagi peniaga di Bandar Marang, Mohd Awang, 50, berpendapat, tindakan peniaga di pusat bandaraya yang bercadang untuk menaikkan harga makanan berasas tepung itu mungkin disebabkan keuntungan diperolehnya menjadi semakin mengecil.

Ini kerana, katanya, modal untuk membeli barang meningkat berikutan perlaksanaan GST walaupun pemilik premis itu mungkin tidak mendaftar untuk GST namun masih perlu membayar lebih sekiranya berlaku kenaikan harga barang.

“Selepas perlaksanaan GST, harga air batu naik, harga plastik membungkus makanan pun naik dan itu tidak termasuk barang-barang lain yang sepatutnya tidak mengalami kenaikan selaras dengan saranan kerajaan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment