Thursday 16 April 2015

Umie Aida 'main cinta' dengan Rahim Razali

ANTARA babak menarik drama 8 episod berjudul Mok Cun lakonan Umie aida.

KUALA LUMPUR: Kelibat Umie Aida di pentas lakonan di kaca televisyen mahupun filem boleh dibilang dengan jari. 

Namun meskipun kebelakangan ini sesekali muncul, kredibilitinya sebagai pelakon tidak mampu dinafikan lagi kerana bakatnya pernah diiktiraf dalam beberapa penganugerahan.

Pemilik nama sebenar Umi Kalsum Rahmad Ali ini sebenarnya mempunyai alasan berbuat demikian. 

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil itu ada pendiriannya.

Ketika artikel ini ditulis, Umie berada di Kedah melunaskan baki penggambaran drama lapan episod berjudul Mok Cun yang diarahkan abang iparnya sendiri iaitu, Bade Azmi. Turut sama berlakon ialah Erma Fatima, Datuk Rahim Razali, Nora Danish, Betty Rahmad dan Puteri Balqis.

Difahamkan juga Umie sedang bermain cinta dengan Datuk Rahim Razali di lokasi penggambaran drama berkenaan yang turut mengambil lokasi di Kuala Lumpur dan Bangkok. Tapi itu semua hanya lakonan dalam drama terbabit.

"Watak yang saya bawakan bernama Zennat Manisa. Nama itu diambil berdasarkan idolanya pelakon lama Bollywood, Zennat Aman. Kira idola lah Zeenat Aman itu kepadanya. Memang dalam drama ini saya berangan habis macam pelakon Bollywood termasuklah aspek kostum.

"Pendek kata segala macam lagu Hindustan Zennat tahu. Siang malam asyik berangan jadi Zeenat Aman sahaja kerjanya. Pada masa yang sama Zennat turut menaruh hati kepada Pak Akob lakonan Datuk Rahim Razali.

"Zennat memang suka gila dengan Pak Akob tapi berdepan dengan persaingan apabila Pak Akob lebih tertarik kepada Mok Cun (Erma Fatima). 

"Zennat mula dengki dengan Mok Cun termasuklah sanggup menjalankan perniagaan cucuk kolagen kerana mahu melawan perniagaan bedak sejuk Mok Cun," katanya kepada BH Online.

Berbalik kepada persoalan kenapa beliau jarang berlakon, Umie sebenarnya sangat selektif. Kali terakhir beliau muncul di kaca TV sekitar dua tahun lalu. Namun dalam tempoh itu, Umie sebenarnya tetap aktif di pentas teater di Istana Budaya.

"Lakonan sudah sebati dalam hidup saya. Ia bukan sekadar mengisi masa lapang. Cuma prinsip kini, saya akan berlakon apabila jatuh cinta dengan watak yang akan dibawakan. Perasaan itu akan datang apabila saya membaca skrip.

"Kalau saya suka dengan watak itu, nescaya saya akan buat. Kalau tak memang saya akan tolak dan terus terang cakap tak boleh buat. Sebab itu juga sebelum menerima tawaran berlakon, saya lebih gemar meneliti skrip. Saya berlaku jujur dalam lakonan yang akan dibuat.

"Apabila kita jatuh cinta dengan sesuatu watak, saya akan laksanakan tugas itu sebaik mungkin. Sebab itu dalam setiap apa yang kita buat kena ada rasa cinta. Maka daripada situ lahirlah sebuah perasaan bernama kejujuran," katanya yang terbabit selama 20 hari untuk melunaskan watak Zennat Manisa.

Drama Mok Cun dijangka bersiaran pada Ramadan ini di TV3.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment