Thursday 16 April 2015

Izara Aishah: Dulu, kini saya tetap sama

Pelakon, Izara Aishah pada tayangan filem Pilot Cafe, di NU Sentral, Kuala Lumpur. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Izara Aishah menepis dakwaan beliau kini berubah berbanding karakternya di awal kemunculan dalam bidang seni dulu, termasuk selepas dikaitkan menjalin hubungan cinta dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza.

Izara bagaimanapun tidak menolak bahawa kisah hubungan cintanya dengan Ketua Eksekutif (CEO) Tune Studios, Adib Khalid adalah salah satu faktor kisah peribadinya kini menjadi perhatian.

"Saya sama sekali tidak menyedari hakikat bahawa saya berubah kerana keluarga dan rakan rapat tidak pula menegur apa-apa. Mungkin kerana saya sedang bercinta dengan orang yang dikenali maka kehidupan peribadi saya lebih terdedah berbanding dulu.

"Sebelum ini saya lebih fokus kepada kerjaya berbanding cerita peribadi, maka orang ramai tidak begitu tahu mengenai karakter sebenar saya. Pada hal saya sebenarnya masih tetap sama saja," kata Izara ketika ditemui di majlis pratonton filem Pilot Cafe di Nu Sentral, di sini.

Selain itu, Izara turut berkongsi bahawa beliau menjaga batas pakaian di layar perak bagi memastikan dirinya tidak terlalu seksi untuk tontonan umum. 

Beliau juga kurang selesa dengan penampilan seksinya dalam filem Sejoli.

"Saya meletakkan syarat dari segi pakaian kerana kurang selesa melihat penampilan saya dalam filem Sejoli. Bukan kerana permintaan teman lelaki atau sesiapa, sebaliknya atas kehendak saya sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izara kini semakin berdebar menanti saat tayangan filem Pilot Cafe yang menampilkan dirinya julung kali sebagai teraju utama. 

"Ramai letak harapan tinggi terhadap filem ini dan sedikit sebanyak ia buat saya rasa tertekan, apatah lagi memikirkan bagaimana penerimaan penonton terhadap lakonan saya.

"Saya diberikan tanggungjawab untuk membawakan watak Maya yang banyak bermain dengan airmata. Saya menghayati watak gadis kampung yang diberikan kepada saya dengan bantuan Ellie Suriati sebagai 'jurulatih' lakonan.

"Selepas melihat lakonan saya dalam filem Sejoli, saya memilih untuk memandang serius setiap aspek kerjaya saya. Saya mahu memberikan yang terbaik untuk perkembangan kerjaya saya," katanya.

Izara mengakui selesa bekerja di bawah arahan Osman Ali dan bakal bekerjasama untuk filem Kau Yang Satu, iaitu satu lagi karya pengarah muda itu.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment