Thursday 16 April 2015

Musang liar bersarang atas siling

Anggota JPAM Tumpat, Che Seman Awang menunjukkan musang liar yang ditangkap di rumah Mat Saud di Kampung Ana.

TUMPAT – Seekor musang liar yang ‘bersarang' di atas siling sebuah rumah di Kampung Ana, berjaya ditangkap menggunakan perangkap yang dipasang pemilik rumah terbabit, semalam.

Mat Saud Awang, 65, berkata, dia memasang perangkap dua hari lalu dengan menggunakan sebiji pisang sebagai umpan kerana tidak tahan diganggu bunyi bising sekawan musang liar setiap hari.

“Ada tiga ekor musang di atas siling rumah ini. Seekor sudah ditangkap tiga bulan lalu dengan bantuan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) Tumpat, tapi sejak beberapa minggu lalu, musang ini buat kacau lagi dengan bunyi bising seperti kucing berkejaran.

“Asalkan malam, riuh rendah bunyi di atas siling. Pada mulanya pakcik sangka kucing, tapi selepas anak panjat dan suluh lampu, nampak mata merah dalam gelap. Barulah tahu rupa-rupanya rumah pakcik jadi sarang musang,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mat Saud, hanya seekor musang masuk ke dalam perangkap, manakala seekor lagi terlepas dan berkemungkinan akan datang lagi mengganggu keluarganya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana musang liar itu tidak makan ayam dan itik peliharaannya kerana sejak bersarang di atas siling, haiwan ternakannya tidak pernah hilang.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Tumpat, Rosli Mat Zain berkata, tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 10.20 pagi.

Menurutnya, pihaknya kemudian memindahkan musang ditangkap Mat Saud itu dan dibawa ke pejabat JPAM untuk tindakan selanjutnya.

“Ini tangkapan kedua di rumah Mat Saud. Kali pertama anggota JPAM menahan perangkap di atas siling dan kali ini, Mat Saud tahan perangkap sendiri,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment